Suami isteri didakwa beri bonus diri sendiri RM400,000 tanpa kelulusan

Iklan
Bekas pengarah sebuah syarikat dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberikan bonus RM400,000 untuk diri mereka sendiri tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat, enam tahun lepas. Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Bekas pengarah sebuah syarikat dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan bonus RM400,000 untuk diri mereka sendiri tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat, enam tahun lepas.

Teo Tzi Sin, 48, dan Wong Poh Wah, 49, sebagai Pengarah Syarikat Sea Tackle Sdn Bhd didakwa menggunakan kedudukan mereka sebagai pengarah syarikat itu, dengan memberikan harta syarikat iaitu masing-masing RM200,000 sebagai bonus kepada diri mereka tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat untuk mendapat manfaat secara langsung kepada mereka.

Pasangan suami isteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di syarikat Sea Tackle Sdn Bhd, Wangsa Maju, di sini pada 30 Januari 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Amir Sharifuddin Hashim manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Ong Wen Li. - Bernama