ISKANDAR PUTERI - Helah sindiket penyeludupan rokok meletakkan kotak lori mainan di dalam dua kontena mengandungi rokok tidak berjaya apabila taktik itu dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.
Hasil pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota JKDM di Pelabuhan Tanjung Pelepas, pada 3 dan 4 Mac lalu, menemukan lebih 21 juta batang rokok tidak berkastam dianggarkan bernilai RM3.62 juta.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan dilakukan turut menemukan 160 kotak lori mainan di dalam dua kontena itu.
"Sindiket meletakkan kotak berisi lori mainan ini di sebalik rokok tidak berkastam. Sekali pandang kontena cuma berisi mainan sahaja. Taktik sebegini kerap kali digunakan sindiket.
"Kesemua rokok tidak berkastam membabitkan anggaran nilai cukai berjumlah RM14 juta itu kemudian dirampas Bahagian Penguatkuasa JKDM Johor untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Aminul Izmeer berkata, siasatan awal ke atas kontena itu didapati ia dalam perjalanan dari luar negara ke Mexico dan usaha mengesan pemilik dagangan tersebut sedang giat dijalankan.
"Sindiket menggunakan modus operandi menyeludup rokok tidak berkastam dengan membuat pengikraran yang mengelirukan di dalam borang Kastam 6, bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1) (a) Akta Kastam 1967," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aminul Izmeer berkata, JKDM Johor menyita tiga buah kontena mengandung 69,390 tin minuman keras tidak berkastam di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada 29 Januari lalu.
"Anggaran nilai minuman keras yang disita sebanyak RM283,631 dan anggaran cukai serta duit berjumlah RM1.84 juta. Ketiga-ketiga kontena didapati dalam perjalanan dari luar negara ke Sabah.
"Sindiket membuat pengikraran yang mengelirukan di dalam borang Kastam 6, bagi mengaburi pihak berkuasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1) (a) Akta Kastam 1967," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28