SHAH ALAM - Penyertaan peserta dalam program World #QuranHour2024 dijangka mencecah lebih 4,000 orang pada 4 April ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program tersebut akan bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 1 petang.
Menurutnya, setakat ini beberapa kementerian dan agensi kerajaan serta beberapa syarikat swasta turut sama akan hadir dalam majlis tersebut.
"Alhamdulillah pada tahun ini kita menjangkakan lebih ramai penyertaan yang dibuat dan kita berharap semua pihak dapat bersama-sama WUIF untuk hadir menyokong program kami.
"Kita berharap dengan akses pengangkutan di kawasan tengah bandar Kuala Lumpur orang ramai boleh hadir untuk bersama-sama menghayati Surah Al-Jumu'ah walaupun masa yang diperuntukkan tidak lama, tetapi intipatinya itu boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
"Program akan bermula dalam 15 hari lagi tetapi penyertaan hampir penuh kerana banyak syarikat dan juga agensi kerajaan yang berminat menghadiri majlis kali ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Program World #QuranHour2024 telah memilih Surah Al-Jumu'ah telah dipilih sebagai tema, yang bertujuan memupuk kefahaman dan memangkin perubahan positif serta transformasi masyarakat di peringkat global.
Ia akan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV AlHijrah, Astro Oasis dan laman Facebook Sinar Harian serta WUIF.
Mengulas lanjut, menurut Marhaini, menerusi pembacaan dan renungan al-Quran secara kolektif, peserta digalakkan untuk mencari pemahaman yang lebih mendalam supaya dapat menerapkan perkara positif dalam kehidupan mereka.
Ujarnya, Surah Al-Jumu'ah bakal membawa perubahan sosial dan penyatuan ummah walaupun berbeza pendapat.
"Kita telah pun mengupas beberapa bahagian dalam surah tersebut menerusi misi Surah Al-Jumu’ah untuk Ummah #GrandReset.
"Pihak WUIF berharap dengan matlamat transformasi sosial di peringkat global akan membawa makna lebih besar untuk program ini bukan hanya di peringkat kebangsaan, tetapi juga dunia,” katanya.