KUALA LUMPUR - Pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, selain itu satu jawatankuasa teknikal melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri juga sedang meneliti dan mengkaji keperluan mewujudkan satu akta baharu yakni Akta Keselamatan Digital.
"Kalau ikut jadual, memang kita berharap kalau sempat, kami berhasrat membentangkan rang undang-undang baharu ini pada sidang (Parlimen) akan datang.
"Kami harap dengan pindaan kepada Akta 588 dan juga akta baharu itu nanti, kami boleh menjaga kebebasan bersuara, tapi pada masa sama melindungi rakyat jelata daripada berita palsu, penipuan dan isu provokasi melibatkan unsur-unsur 3R (agama, raja, kaum)," katanya pada sesi soal jawab hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Juhanis Abd Aziz yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang berkaitan supaya kebebasan bersuara seiring perubahan dinamik teknologi dan digital serta tidak melangkaui perkara sensitif terutama isu 3R dan berita palsu.
Nie Ching berkata, kerajaan sentiasa mendukung prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kerana hak kebebasan yang dimiliki ini harus dilaksanakan secara bertanggungjawab serta beretika dan tidak melanggar peruntukan perundangan sedia ada.
"Kementerian Komunikasi sentiasa melaksanakan inisiatif penambahbaikan dari semasa ke semasa, terutamanya memberikan perhatian khusus dalam menjaga kepentingan dan kebebasan media di Malaysia.
"Antaranya cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang dijangka dibentangkan di Parlimen dalam Mesyuarat Kedua kelak," katanya.
MMM meliputi seluruh media di negara ini iaitu media cetak, media elektronik (penyiaran) dan media sosial merupakan sebuah badan self-regulatory yang berfungsi sebagai sebuah organisasi bagi memastikan industri media yang bebas dan bertanggungjawab.
Ia antara lain bertujuan memastikan kebebasan akhbar dan media dipertahankan, liputan objektif serta tidak berat sebelah, menjaga saluran media dengan orang ramai sentiasa terbuka, menerima aduan orang ramai berhubung tindakan media dan memantau dari segi undang-undang dan akta berkaitan media.
Nie Ching berkata, Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) juga telah membangunkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang menjadi garis panduan oleh agensi media, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini rakyat. - Bernama