MELAKA - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersiap-siaga serta memantau negeri -negeri yang mengalami penurunan paras air di kawasan tadahan mahupun empangan bagi melakukan proses pembenihan awan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebelum melakukan pembenihan awan pihaknya akan mengambil kira beberapa faktor dan keperluan bagi memastikan proses berkenaan berhasil memandangkan ia menelan kos yang agak tinggi dan tidak berlaku pembaziran.
Katanya, setakat ini juga belum ada negeri yang membuat permohonan untuk melakukan proses itu susulan cuaca panas dan kering melampau.
"Kalau ada keperluan, permintaan kadang-kadang datang dari pihak negeri, apabila empangan tadahan air rendah maka kita akan lihat sesuai dibuat atau tidak.
"Setakat ini belum ada permintaan, tapi kita memantau rapat soal paras air di setiap empangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Syarikat Megatrax Plastic Industries Sdn BHd di Kampus UTeM, Alor Gajah, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massiela Kamarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat.
Ujar beliau, dua negeri yang merekodkan cuaca paling panas iaitu Pokok Sena di Kedah dan Perlis juga belum membuat sebarang permohonan bagi melakukan proses pembenihan awan.
Katanya, selain itu pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belian dan Sukan mengenai langkah yang perlu diambil sepanjang cuaca panas.
"Kita telah buat mesyuarat jawatankuasa induk bagi cuaca kering dan jerebu, jadi kita dalam keadaan memantau keadaan terkini.
"Semua kementerian terbabit mereka sudah pun berjaga-jaga dengan apa yang perlu dibuat selaras dengan garis panduan yang kita ada," katanya lagi.