KIMANIS - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah idea daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pada satu ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Bongawan di sini, Mohd Azis mengemukakan bukti penglibatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan membacakan minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah, Bilangan 2/2015 bertarikh 31 Julai 2015.
Menurut Mohd Azis, mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu, dengan jelas mencadangkan dan mempersetujui untuk pas residen dikoordinasikan.
"Dalam minit mesyuarat ini disebut dengan jelas cadangan pemerluasan pas residen kepada kategori-kategori yang disebutkan iaitu pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dikoordinasikan menjadi satu dokumen dipanggil Pas Residen Sabah.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang PSS tidak layak mohon kewarganegaraan: Muhyiddin
"Mesyuarat juga bersetuju untuk dilaksanakan, cuma mereka (BN) cakap mereka tidak ada (pernah) umum dan laksanakan (sebelum ini). Ya memanglah (mereka tidak laksana) kerana mereka telah tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.
Pada 9 Januari lalu, Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO dan pengerusi BN, dalam satu laporan berita menafikan dakwaan bahawa pelaksanaan PSS adalah idea pentadbiran BN.
Pada September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan keputusan itu, berkata pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.
Muhyiddin berkata, pengeluaran PSS, antara lain diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa. - Bernama