Gaduh: Dua lelaki warga Myanmar diberkas

Iklan
Video tular memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga Myanmar berkumpul di kaki lima rumah kedai.

KUALA LUMPUR - Seramai dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 9.24 malam.

Iklan
Iklan

"Seramai empat individu termasuk dua suspek yang cedera akibat pergaduhan itu dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menangkap dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun yang terlibat dalam kes itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, motif pergaduhan adalah disebabkan oleh perselisihan faham antara suami isteri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 148 Akta sama kerana merusuh," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno berkata, pada Rabu, pihaknya terkesan satu klip video berdurasi empat minit 55 saat memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga Myanmar berkumpul di kaki lima rumah kedai.

"Polis Kuala Lumpur menafikan bahawa kejadian pergaduhan tersebut berlaku antara lelaki tempatan dengan lelaki warga Myanmar sepertimana tular di dalam video tersebut.

"Kesemua individu yang terlibat dalam pergaduhan itu adalah warga Myanmar. Video insiden berkenaan telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Tegas beliau, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya dengan berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

"Orang ramai turut diminta tidak menyebar mahupun berkongsi lanjut sebarang maklumat sedemikian untuk mengelakkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28