QUETTA - Sepuluh lagi mayat pelombong berjaya ditarik dari lubang arang batu yang runtuh di selatan Pakistan pada Rabu, menjadikan keseluruhan jumlah kematian kepada 12 orang.
Letupan gas yang berlaku pada Selasa itu telah menggegarkan lubang arang batu persendirian di kawasan perlombongan Khost, kira-kira 80 kilometer di timur Quetta sehingga memerangkap pelombong ratusan kaki di bawah tanah.
"Usaha menyelamat sudah berakhir dengan 12 mayat ditemui. Dua mayat ditemui pada waktu malam dengan baki 10 lagi ditemui pada awal pagi," kata ketua pemeriksa lombong wilayah Balochistan, Abdul Ghani Baloch.
Ketua Pengarah Perlombongan Balochistan, Abdullah Shahwani turut mengesahkan jumlah kematian tersebut dan memaklumkan, laporan awal menunjukkan kejadian itu disebabkan gas metana.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi satu kenyataan mengucapkan dan menyatakan kesedihan yang mendalam atas kehilangan nyawa.
Insiden maut bukan perkara luar biasa di lombong Pakistan yang terkenal dengan keadaan kerja yang berbahaya dan standard keselamatan yang lemah.
Balochistan adalah wilayah terbesar tetapi termiskin di Pakistan yang mana penduduk tempatan telah lama mengadu bahawa mereka dilayan secara tidak adil.
"Insiden ini bukan yang pertama dan bukan yang terakhir di Balochistan," jelas Ketua Persekutuan Pekerja Lombong Arang Balochistan, Lala Sultan. - AFP