MERSING - Lima laporan sudah diterima polis berhubung kes liwat membabitkan seorang lelaki dipercayai naib ketua pemuda sebuah parti politik di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan polis membabitkan enam orang mangsa.
"Polis menerima tiga lagi laporan dibuat empat individu, selepas dua laporan polis dibuat dua mangsa seperti yang dimaklumkan pada Selasa.
"Ini menjadikan keseluruhan laporan polis diterima sebanyak lima membabitkan enam mangsa," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.
Beliau berkata, kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu dan pendakwaan akan dibuat Mahkamah Kota Tinggi.
Pada Selasa, Abdul Razak dilaporkan berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 30-an itu direman selama tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Beliau dilaporkan berkata, polis menerima dua laporan polis dibuat dua mangsa iaitu remaja lelaki warga tempatan berusia 15 tahun.
Sebelum itu, tular satu laporan menyatakan seorang naib ketua pemuda sebuah parti politik di Mersing ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes liwat membabitkan mangsa berusia antara 15 hingga 21 tahun.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28