BINTANG serba boleh, Izzue Islam memilih untuk bersikap nuetral sekiranya perlu bekerja dengan mana-mana selebriti yang berdepan kontroversi.
Jelas Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, dia tidak mahu pukul rata atau menghukum orang lain yang tidak mempunyai masalah dengannya.
"Dia mungkin bermasalah dengan orang lain, tetapi tidak dengan saya. Jadi kenapa saya perlu tolak tawaran untuk bergandingan dengan individu itu.
"Saya tidak ada masalah untuk digandingkan dengan sesiapa pun dan saya anggap itu rezeki. Lagipun saya tidak suka bermusuh atau mengasingkan diri," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama peminat dan media di Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin lalu.
Tambah Izzue, 33, dia juga tidak suka masuk campur atau memberi ulasan terhadap apa jua kontroversi yang berlaku melibatkan rakan selebriti kerana bimbang diuji sedemikian pada masa akan datang.
Dalam masa sama, bintang Rindu Kasih itu sentiasa beringat tatkala bekerja dan selesa ditemani isteri tercinta, Awin Nurin ke mana sahaja.
"Sejujurnya perasaan risau tetap ada. Bimbang juga kalau saya tersilap langkah, nanti orang akan kata pada saya semula.
"Saya tidak mahu sekiranya yang berada dalam keadaan tertekan, bertambah tertekan dan kita pula dituduh sebagai punca masalah kesihatan mental," jelasnya.
Izzue juga mendedahkan, dia menyedari ada segelintir pihak yang kurang senang dengan pendiriannya yang enggan bersentuhan ketika berlakon.
Namun akan tetap berpegang dengan pendirian itu kerana berpandangan untuk mewujudkan keserasian tidak perlu bersentuhan mahupun dibawa ke luar lokasi.
"Semua tahu cara saya bekerja dan saya memang tidak akan bersentuhan dengan pelakon wanita yang digandingkan dengan saya.
"Bagi saya kalau nak cipta keserasian, ketika waktu makan di set penggambaran pun boleh. Sebagai pelakon kita hanya perlu menjadi diri sendiri.
"Lagipun kami tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing dan sama-sama bantu untuk memberikan yang terbaik pada watak dilakonkan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28