KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dibelasah tiga lelaki sehingga menyebabkan kecederaan gara-gara terlupa membayar pesanan dua biji burger berjumlah RM9 pada Isnin.
Mangsa, Mohamad Hamizam Saudi, 20, cedera pada bahagian kening sebelah kiri dan sakit badan akibat kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku disebabkan peniaga burger tidak berpuas hati kerana mangsa terlupa membayar pesanan burger yang dibuat pada Ahad.
Menurutnya, susulan itu berlaku perselisihan faham mangsa dengan peniaga burger tersebut sehingga berlaku pergaduhan di hadapan gerai burger di Batu Tiga, Jalan Gambang- Kuantan di sini.
"Suspek (peniaga burger) tidak berpuas hati dengan mangsa kerana tidak membayar dua biji burger yang dibeli (pesanan) pada berharga RM9. pada jam 1 pagi pada Ahad.
"Tiga lelaki kemudian bertindak memukul, menyepak dan memijak sehingga mangsa mengalami kecederaan.
"Mangsa seterusnya tampil ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu pada Selasa," katanya pada Rabu.
Pada Selasa, tular di halaman Warga Kuantan Official satu hantaran dan beberapa gambar berhubung kejadian itu.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata, hasil rakaman percakapan, mangsa tidak dapat memastikan sama ada tiga atau seorang lelaki sahaja memukulnya pada hari kejadian
Beliau menambah, mangsa memaklumkan tidak melihat dengan jelas, tetapi seorang telah memukulnya mengunakan tangan dan kaki.
Katanya, selain itu, dua lagi rakan kepada suspek turut kelihatan bersama.
"Ketiga-tiga suspek itu juga tidak mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah kepada mangsa semasa kejadian dan tidak menggunakan apa-apa senjata.
"Mangsa juga tidak melawan ketika dipukul oleh suspek," katanya.
Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28