PUTRAJAYA - Sebuah kilang kitar semula peralatan elektronik di Klang, Selangor dimiliki warga China diserbu dengan rampasan wang tunai lebih setengah juta, pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula jam 4 petang itu dijalankan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan satu bulan.
Menurutnya, pihak imigresen telah menahan enam individu termasuk tiga wanita berusia lingkungan 50 hingga 78 tahun.
"Pemeriksaan mendapati mereka terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki China berperanan sebagai pengarah dan pemilik kilang.
"Selebihnya ialah seorang lelaki dan tiga wanita China yang merupakan ahli lembaga syarikat," katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Rabu.
Tambahnya, hasil semakan awal, lima warga China memiliki Pas Penggajian (Employment Pass) dan Pas Tanggungan (Dependant Pass) yang masih sahlaku.
Beliau berkata, turut ditahan seramai 42 warga asing termasuk dua wanita membabitkan 38 warga Myanmar, tiga China dan seorang Indonesia disyaki pekerja kilang.
"Seorang lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun turut ditahan berdasarkan ‘kad pengenalan diri Myanmar’, sementara warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," ujarnya.
Dalam operasi itu, pihak imigresen telah merampas lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Malaysia (SSM), rekod perniagaan, kunci premis, enam pasport China, sebuah pasport Indonesia dan Myanmar, empat telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM688,900.00 dan 42 keping kad perakam waktu.
"Barangan lusuh yang telah diproses akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara," ujarnya.
Dedah Ruslin, kilang ini juga disyaki menggajikan warga asing dengan bayaran sebanyak RM2,500 hingga RM3,000 sebulan selain menyediakan tempat tinggal di dalam kilang tersebut.
"Semasa serbuan dilakukan, ada pekerja warga asing cuba melarikan diri dan kawasan kilang yang sangat luas, namun segala usaha warganegara asing ini berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.
"Terdapat juga pekerja yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang pasukan melakukan penggeledahan," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28