15 tahun himpun kisah Israk dan Mikraj

Iklan
Dr Zulkifli menunjukkan buku Isra' dan Mi'raj Perjalanan Kepada Yang Maha Agung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM - Buku Isra' dan Mi'raj Perjalanan Kepada Yang Maha Agung terbitan Karya Bestari merupakan himpunan tentang perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa berkenaan yang disusun atur berdasarkan puluhan rujukan.

Menurut penulisnya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri buku itu mengambil masa sehingga 15 tahun untuk disiapkan.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah selepas akhirnya kami dapat menyiapkannya. Untuk makluman buku ini bersandarkan kepada dalil dan nas serta kisah yang kami nyatakan. Ia disaring dan dijelaskan mengikut yang mana sahih dan yang mana lemah.

"Buku ini juga merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar seperti karya al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Suyuti dan ramai lagi tokoh-tokoh termasuk yang mutakhir seperti Syeikhul Azhar, Syeikh Abdul Halim Mahmud, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi dan lain-lain lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Jelas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, rujukan berkenaan dibuat agar buku tersebut benar-benar mempunyai merit dan kekuatan yang tersendiri bagi menoktahkan mana-mana pendapat dan kenyataan.

"Kami juga mengambil kesempatan untuk menyemak hadis yang terkait dengan Israk dan Mikraj ini," katanya lagi.

Iklan

Buku yang mempunyai 339 halaman dan berharga RM70 kini boleh didapati di Karangkraf mall serta boleh dibeli secara dalam talian.

Penghasilannya turut melibatkan beberapa penyelidik iaitu Tengku Ibrahim Tengku Mohammad, Abdul Rahman Abd Kodir, Muhammad Dawud al-Hawariy Hamizan dan Siti Nabilah Yusoff.

Tambahnya, buku tersebut amat istimewa kerana ia turut menerangkan tentang hikmah di sebalik peristiwa dialami nabi dalam peristiwa penting berkenaan.

Dalam pada itu katanya, iktibar yang boleh diambil dalam buku ini adalah mengenai kekuasaan ALLAH yang memperlihatkan diri-NYA yang boleh melakukan apa sahaja.

"ALLAH hendak menunjukkan kepada nabi berhubung peristiwa-peristiwa pelik yang tidak dapat dilihat pada waktu lain.

"Buku ini juga menggambarkan maha suci ALLAH, DIA yang berkuasa pada seluruh alam ini," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28