SHAH ALAM-"Sebenarnya kita tidak bermusafir lagi sekiranya kita masih berada di rumah dan ada kebarangkalian kita tidak jadi untuk melakukan musafir."
Demikian jawapan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menjawab pertanyaan seorang peserta yang bertanyakan sama ada dibolehkan seseorang itu untuk berbuka puasa sebelum bermusafir.
Menurutnya, mungkin pada masa individu itu berada di rumah, bukan masa yang diyakini untuk bermusafir.
"Bila musafir itu yang diyakini, itu yang kita mahukan. Ada nas di dalam hadis menyatakan bahawa tidak ada kebaikan bagi mereka yang berpuasa ketika bermusafir.
"Nas ini kita kena faham dengan baik. Nas ini ada tujuannya iaitu pertama bila bermusafir memerlukan kekuatan contohnya hendak pergi perang misalnya. Sebab itu nabi minum depan orang ramai pada ketika perang dan seumpamanya," katanya ketika menjadi panel dalam Program Sembang Ramadan: Tanya Je Ustaz! bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Rabu.
Program yang berlangsung Kompleks Kumpulan Karangkraf itu dihoskan oleh Amin Idris.
Menyimpulkan tentang perkara tersebut, Dr Zulkifli berkata, apa yang penting adalah ia melibatkan keyakinan seseorang itu ketika bermusafir
"Saya mahu katakan begini pertama berlaku keyakinan dan kedua memang kita hendak bermusafir dan ketiga hendak jaga aib tidak mahu makan depan orang ramai.
"Secara sebaiknya saya nasihatkan meskipun ALLAH bagi izin berbuka, hormati orang yang berpuasa ini juga," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28