[VIDEO] JAINJ gempur 80 premis terkait penjualan stoking kalimah ALLAH

Iklan

JOHOR BAHRU - Sebanyak 80 premis perniagaan di seluruh negeri ini yang dikaitkan dengan penjualan stoking kalimah ALLAH diperiksa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, operasi besar-besaran bermula pada Rabu itu akan berterusan sehingga isu kalimah ALLAH selesai.

Iklan
Iklan

Jelasnya, operasi melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Kadi Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), turut menumpukan kepada kedai-kedai yang menjual pakaian dan alat tulis.

Mohd Fared

"Operasi ini merupakan langkah agresif dan segera yang diambil JAINJ sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenaan kalimah ALLAH yang perlu sentiasa dimuliakan.

Iklan

"Disebabkan itu, operasi dilakukan di 10 daerah di Johor yang menyasarkan premis-premis yang terkait dengan insiden kalimah ALLAH dan juga premis yang menjual pakaian dan alat tulis," katanya selepas operasi pemantauan di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru pada petang Rabu.

Mohd Fared menambah, operasi yang dijalankan itu juga menunjukkan JAINJ serius membanteras sebarang kecenderungan dan usaha mempersendakan agama Islam.

Iklan

"Ini juga saya sifatkan amaran paling besar kepada mana-mana pihak termasuk pengeluar produk sama ada individu atau syarikat penerbitan supaya jangan lagi sesekali berani mencabar kemuliaan agama Islam.

"Peniaga-peniaga bukan Islam jangan bimbang sekiranya kalian tidak bersalah, berniaga seperti biasa, patuhi semua syarat yang ditetapkan," ujarnya.

Mohd Fared (kiri) memeriksa stoking ketika operasi pemantauan di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru pada petang Rabu.

Menurut Mohd Fared, JAINJ juga akan melaksanakan lebih banyak program kesedaran dan taklimat berhubung sensitiviti agama yang perlu dijaga.

"Kami bukan sahaja laksanakan penguatkuasaan tetapi juga akan mengadakan lebih program kesedaran termasuk bengkel dengan memanggil semua pemain industri.

"Begitu juga pihak pengilang dan pengusaha akan dipanggil supaya mereka diberikan taklimat bagaimanakah seharusnya sensitiviti agama Islam yang perlu dijaga," ujarnya.

Mohd Fared (kanan) memeriksa alat tulis ketika operasi pemantauan di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru pada petang Rabu.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bersepadu Negeri susulan isu kontroversi kalimah ALLAH ketika ini.

Mohd Fared berkata, jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat pada Khamis dan seterusnya akan merangka satu garis panduan khas.

Jelasnya, garis panduan khas itu akan melihat bagaimana perniagaan di negeri ini dijalankan dalam suasana mesra agama serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Jawatankuasa bertindak akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh isu persendaan agama Islam termasuk kalimah ALLAH bagi memastikan isu persendaan agama Islam tidak berulang.

"Selain saya, jawatankuasa turut disertai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han," katanya.

Beliau berharap mesyuarat pertama jawatankuasa itu pada Khamis akan dapat mengumpul input terbaik untuk persekitaran perniagaan yang lebih harmoni.

"Mesyuarat sulung akan membabitkan KDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen (JIM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ia bagi merangka garis panduan lebih menyeluruh serta lengkap, namun tetap menghormati persekitaran perniagaan itu sendiri," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28