SHAH ALAM - Kerajaan perlu menambah baik prasarana di sekolah terutamanya yang mengalami masalah kepadatan murid kerana ia menimbulkan rasa tidak selesa bukan sahaja kepada murid tetapi guru.
Pesara guru, Dr Murni Husin berkata, isu berkenaan memberi cabaran kepada tenaga pengajar untuk memastikan setiap murid dapat memberikan fokus sepenuhnya sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung.
"Ia tidak boleh dikatakan sebagai sukar kerana guru-guru berjaya melaksanakan sesi PdP dengan baik sehingga kini, tetapi dengan kemudahan yang kurang lengkap atau sudah usang membuatkan murid tidak seronok untuk datang ke sekolah.
"Kelengkapan seperti kerusi, meja, almari dan kipas perlu ditambah baik demi keselesaan pelajar.
"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh lakukan tindakan sedikit demi sedikit untuk memastikan infrastuktur sekolah berada di tahap terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana siri 434 bertajuk 'Dah 2024, masih isu kelas padat?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr Wan Noor Azhar Wan Sulaiman serta Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad sebagai panel.
Dalam pada itu, Murni menjelaskan, kegigihan setiap guru untuk mengajar di sekolah terutamanya ketika terpaksa mengadapi masalah kepadatan murid boleh dilihat dengan ketara menerusi persiapan yang dilakukan.
"Saya melihat usaha gigih guru-guru walaupun ada di antara mereka mempertikaikan keadaan tersebut tetapi mereka tetap mencuba sebaik mungkin kerana ia adalah amanah.
"Kita datang sekolah untuk satu amanah dalam mencari rezeki dan menganggap murid sebagai anak sendiri.
"Kita cuba sehabis baik mungkin untuk memberi keselesaan kepada anak-anak (murid) dengan menempatkan mereka mengikut tahap kemampuan agar tiada yang ketinggalan sewaktu PdP berlangsung. Itu antara usaha boleh kita lakukan setakat ini," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28