Penilaian CTOS pengaruhi reputasi kredit individu

Iklan
CTOS masih relevan dalam menjadi salah satu daripada beberapa agensi rujukan kredit yang digunakan oleh bank dan institusi kewangan di Malaysia untuk menilai kelayakan individu atau entiti perniagaan dalam meminjam wang atau mendapatkan kredit. Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Zharif Luqman)

TULAR di media sosial baru-baru ini apabila CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) diarahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000 kepada seorang wanita kerana membuat penarafan kredit yang tidak tepat sehingga menyebabkan kerugian secara peribadi dan dalam perniagaan, selain telah merosakkan reputasinya.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tiada peruntukan dalam akta yang memberikan kuasa kepada CTOS untuk merumuskan skor kreditnya sendiri.

Iklan
Iklan

Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati CTOS telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga terhadap plaintif, Suriati Mohd Yusof, 43, yang juga pengarah dan pemegang saham Keranji Beach Resort Sdn Bhd di Pulau Perhentian, Terengganu serta melangkaui fungsi- fungsi ia didaftarkan.

Susulan laporan negatif defendan pada Mei 2019, permohonan pinjaman kereta Suriati telah ditolak dan selepas disiasat, plaintif mendapati defendan telah memberikan penarafan kredit yang negatif kepadanya.

Iklan

Biarpun CTOS boleh berbuat demikian, ia telah memilih untuk tidak menghiraukan dakwaan plaintif di samping tidak menyediakan maklumat yang tepat mengenai wanita itu.

Setelah kes saman CTOS hangat diperkatakan, pasti ramai yang ingin mengetahui apa peranan dan fungsi sebenar CTOS dan bagaimana ia memainkan peranan yang penting dalam menjaga skor kredit pengguna. Ini lima fakta yang anda perlu tahu tentang CTOS!

Iklan

Apa itu CTOS?

Ahli Ekonomi Utama, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE, Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, CTOS bertanggungjawab untuk mengumpul, menyimpan, dan membekalkan maklumat kredit mengenai individu dan entiti perniagaan di Malaysia.

CTOS yang merupakan salah sebuah Agensi Pelaporan Kredit (CRA) di Malaysia di bawah bidang kuasa Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 turut menyediakan perkhidmatan skor kredit untuk individu yang digunakan untuk membuat penilaian risiko kredit pengguna.

Mengapa CTOS menjadi pertikaian?

CTOS telah menjadi sumber pertikaian di dalam beberapa kes kerana kelemahan dan kontroversi berkaitan dengannya.

Salah satu isu utama adalah ketidaksempurnaan data dilaporkan oleh CTOS yang boleh menyebabkan maklumat kredit individu tidak tepat atau terdapat kesilapan yang tidak diatasi dengan segera.

Sebagai contoh, terdapat kes di mana individu dipengaruhi secara negatif terhadap reputasi kredit mereka tanpa sebab yang munasabah.

Kritikan terhadap CTOS juga sering kali berkaitan dengan kurangnya penjelasan yang memadai kepada individu mengenai keputusan diambil atau laporan kredit mereka.

Kurangnya penjelasan ini dapat menimbulkan kebingungan dan kesangsian terhadap proses penilaian dan keputusan yang dibuat oleh CTOS.

CTOS masih relevan

CTOS masih relevan dalam menjadi salah satu daripada beberapa agensi rujukan kredit yang digunakan oleh bank dan institusi kewangan di Malaysia untuk menilai kelayakan individu atau entiti perniagaan dalam meminjam wang atau mendapatkan kredit.

Bank dan institusi kewangan menggunakan maklumat dari CTOS dan agensi kredit lainnya sebagai salah satu faktor dalam proses pengambilan keputusan kewangan mereka. Proses ini biasanya melibatkan penilaian terhadap rekod kredit seseorang termasuk sejarah pembayaran pinjaman dan jumlah hutang.

CTOS akan menyediakan laporan kredit yang mengandungi maklumat ini kepada bank dan institusi kewangan untuk membantu mereka membuat keputusan sama ada untuk memberi pinjaman atau kredit kepada individu tersebut.

Namun, laporan kredit dari CTOS hanya mempunyai satu aspek dalam proses pengambilan keputusan kewangan. Bank dan institusi kewangan perlu menimbangkan faktor-faktor lain seperti pendapatan, status pekerjaan, dan sejarah kewangan secara menyeluruh sebelum membuat keputusan akhir.

CTOS tidak boleh rumus skor kredit sendiri

Skor kredit merupakan penilaian berdasarkan sejumlah faktor termasuk sejarah pembayaran pinjaman, jumlah hutang, jenis hutang dan lain-lain.

Namun, dalam beberapa sistem kredit, terutamanya di negara yang mengamalkan undang-undang privasi data yang ketat, agensi kredit seperti CTOS tidak dibenarkan untuk merumuskan skor kredit mereka sendiri atau menetapkan kriteria sendiri dalam memberi label kepada individu mahupun entiti perniagaan tanpa peruntukan undang-undang jelas.

Sebagai gantinya, agensi kredit akan menggunakan data yang mereka kumpulkan untuk menyediakan laporan kredit kepada bank dan institusi kewangan. Keputusan kredit kemudian akan dibuat oleh pihak-pihak ini berdasarkan analisis terhadap maklumat yang diberikan.

CTOS terikat dengan Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010

Sebagai agensi pelaporan kredit yang tertakluk di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010, CTOS bertanggungjawab untuk menjamin ketepatan, kemas kini laporan, dan ketiadaan kekeliruan dalam maklumat yang disediakan. Terdapat beberapa tanggungjawab utama yang harus dipatuhi oleh CTOS di bawah akta tersebut.

Pertama, CTOS perlu memastikan bahawa maklumat kredit yang disediakan adalah tepat dan mencerminkan sejarah kredit individu atau entiti perniagaan secara teliti. Ini termasuk memeriksa kesahihan catatan pembayaran pinjaman atau transaksi kewangan dan menyelaraskan maklumat tersebut dengan rekod yang relevan.

Kedua, CTOS wajib memastikan bahawa laporan kredit yang disediakan sentiasa terkini dan dikemas kini secara berkala untuk menjamin pihak memerlukan maklumat kredit dapat memperoleh gambaran tepat tentang status kewangannya.

Terakhir, CTOS harus mengelakkan amalan atau prosedur yang boleh mengelirukan pengguna maklumat kredit.

Bantu baiki rekod kredit individu disenarai hitam

Apabila seseorang didaftar dalam senarai hitam atau dikenal pasti sebagai individu berisiko tinggi oleh CTOS, ini menunjukkan kemungkinan individu tersebut mempunyai catatan kredit yang buruk atau tertunggak.

Keadaan ini dapat berlaku apabila seseorang gagal melakukan pembayaran pinjaman tepat pada waktunya, mengabaikan hutang, atau terlibat dalam aktiviti kewangan yang meragukan.

Salah satu kesan disenarai hitam adalah individu berkemungkinan menghadapi penolakan dalam permohonan pinjaman, kad kredit, atau produk kewangan lainnya dari bank dan institusi kewangan. Ini disebabkan penyedia perkhidmatan kewangan sering menggunakan maklumat CTOS untuk menilai kelayakan peminjam.

CTOS memiliki prosedur yang ditetapkan untuk membantu individu yang didaftar dalam senarai hitam memperbaiki rekod kredit mereka. Dengan memperbaiki rekod kredit, individu tersebut mungkin dapat mengurangkan kesan negatif seperti peningkatan faedahnya atau sukar mendapat peluang pekerjaan akibat di senarai hitam oleh CTOS.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28