TAIPEI - Tindakan seorang guru di Taiwan yang mahu menunjukkan prinsip fizik menggunakan kucing peliharannya mengundang kecaman pengguna media sosial.
Individu dikenali sebagai Lee Feng itu melakukan 'eksperimen' digelar sebagai pemuliharaan momentum sudut di hadapan pelajarnya dengan sengaja menjatuhkan kucing digelar Laifu sebanyak dua kali.
Kedengaran kucing itu mendesis setiap kali ia dijatuhkan ke lantai.
"Tiada masalah untuk lakukan kepada kucing. Tetapi, tidak boleh dibuat pada anjing," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi pelajarnya pada awal bulan lalu.
Warganet bagaimanapun tidak menyenangi perbuatan itu yang ternyata membahayakan keselamatan kucingnya.
"Bukankah seorang guru wajar mendidik pelajar mereka untuk menghormati kehidupan?Ia adalah demonstrasi yang teruk," ujar Page Hsu menerusi ruangan komen pada halaman Facebook milik Feng.
Susulan dibanjiri kritikan pengguna media sosial, guru itu telah memohon maaf.
"Sebagai pemilik Laifu, saya tidak mengendahkan bahaya fizikal dan mental akibat daripada eksperimen tersebut. Saya juga mencetuskan kontroversi dan tidak mengambil kira impak negatif kepada pelajar dan pihak lain," jelasnya.
Menurutnya, Laifu telah dibawa ke veterinar untuk menjalani pemeriksaan malah beliau turut mendermakan NT$50,000 (RM7,427) kepada Persatuan Penyelamat Haiwan Taiwan.
Sementara itu, saintis menjelaskan kucing mempunyai sistem keseimbangan semula jadi yang membolehkan ia 'berpusing' apabila diterbalikkan untuk mendarat pada permukaan. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28