Juadah bazar Ramadan indah khabar dari rupa

Iklan
Terdapat dakwaan ada segelintir peniaga bersikap tidak jujur dengan menjual juadah iftar yang indah khabar dari rupa. Gambar hiasan Bernama

WALAUPUN ibadah puasa sudah memasuki minggu kedua, isu tentang makanan di bazar Ramadan masih menjadi bualan ramai.

Di media sosial misalnya, ramai pengunjung bazar yang sudah 'terkena' mengadu mendapat kuih yang keras, nasi basi dan sebagainya.

Iklan
Iklan

Malah, terdapat juga dakwaan ada segelintir peniaga bersikap tidak jujur dengan menjual juadah iftar yang indah khabar dari rupa.

Minggu lepas, Merak Jalanan sendiri pernah merasai perasaan ditipu peniaga yang menjual roti john tanpa inti di sebuah bazar Ramadan tumpuan ramai di Lembah Klang.

Iklan

Merak Jalanan hanya menyedari perkara tersebut selepas membuka bungkusan untuk dihidangkan ketika berbuka puasa.

Nak dijadikan cerita, Merak Jalanan membeli roti john yang sudah siap dibungkus kerana mahu menjimatkan masa.

Iklan

Aromanya memang membangkitkan selera. Namun sebaik bungkusan dibuka, apa yang terdapat pada roti john tersebut hanyalah sapuan sos mayonis, cili dan barbeku semata-mata. Kecewa bukan kepalang anak-anak Merak Jalanan.

Tetapi, ini hanyalah secebis pengalaman juadah bazar Ramadan indah khabar dari rupa.

Merak Jalanan percaya, ramai lagi pengunjung bazar yang mengalami situasi serupa.

Apa pun, sikap jujur dan amanah perlu ada pada diri setiap peniaga bazar Ramadan, bukannya hanya memikirkan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat 30 hari!

Jadi betullah kata rakan sepejabat Merak Jalanan, musim puasa ini memang ramai peniaga 'bidan terjun' di bazar Ramadan. Asal boleh buat duit sahaja, rasa dan kualiti belakang kira.

Nasihat Merak Jalanan kepada peniaga, berlaku jujurlah dalam hal jual beli agar keuntungan itu bukan sahaja dinikmati di dunia ini tetapi dirasai juga di akhirat kelak kerana tiada siapa tahu, mungkin tahun ini Ramadan terakhir buat diri kita.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28