BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menerima 'kunjungan' seekor kerbau albino besar di pejabatnya pada Rabu.
Tetamu istimewa digelar Ko Muang Phet dari wilayah barat Phetchaburi itu agak terkenal dalam kalangan penternak di negara itu selepas ia menjadi tumpuan kerana dijual dengan harga AS$500,000 (RM2.4 juta) baru-baru ini.
Ia setinggi 1.8 meter (m) dan seberat 1.4 tan yang bersaiz tiga kali ganda lebih besar daripada kerbau biasa.
Ko Muang Phet telah menjadi 'bintang TV' apabila ia muncul dalam soap opera popular berjudul Sound From The Field of Love.
Srettha yang berketinggian 1.92m turut mengambil peluang untuk 'bermesra' dengan haiwan selebriti tersebut.
"Saya tidak menyangka kita mempunyai kerbau unik seperti ini," katanya sambil mengusap salah satu tanduk Ko Muang Phet.
Keunikan haiwan itu membawa keuntungan besar selepas seorang petani di wilayah Phitsanulok dilaporkan menjual spesies sama untuk harga lebih AS$1.45 juta (RM6.87 juta) pada tahun lalu.
Menerusi catatan di platform X, Srettha memaklumkan Persatuan Pembiakan Kerbau Thailand meminta kerajaan supaya mempromosikan haiwan tersebut sebagai alat 'kuasa lembut'. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28