Bantuan kemanusiaan dipergiat

Iklan

PENDUDUK di Genting Gaza kini berdepan kekurangan bekalan makanan yang meruncing apabila jumlah kanak-kanak di utara wilayah itu mati kelaparan kian meningkat selain berdepan krisis kebuluran yang teruk.

Malah, agensi antarabangsa semakin buntu selepas akses penghantaran bekalan bantuan melalui jalan darat di dua lintasan yang menghubungkan dengan Gaza tergendala dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk Palestin yang semakin terdesak.

Iklan
Iklan

COGAT, sebuah badan di Israel yang menyelaraskan bantuan kemanusiaan ke Gaza memaklumkan, secara purata hanya 126 trak makanan memasuki enklaf tersebut pada setiap hari.

Ia memberi alasan jumlah itu kononnya adalah lebih tinggi berbanding 70 trak ketika sebelum perang tercetus.

Iklan

Kempen pengeboman yang diperhebatkan sejak lebih lima bulan lalu dan situasi berbahaya menjejaskan usaha pengagihan bantuan ketika pengeluaran makanan di Gaza terkesan setelah ladang pertanian, kilang dan kedai roti musnah dibedil rejim Zionis.

Berikutan jalan darat berdepan sekatan ketat, beberapa negara antarabangsa mengambil inisiatif untuk menggunakan laluan alternatif melalui udara dan koridor maritim.

Iklan

Koridor maritim

Bagi meringankan penderitaan penduduk Gaza, dua inisiatif telah diumumkan untuk penghantaran bekalan penting ke enklaf tersebut.

Kapal bantuan, Open Arms dari Sepanyol yang membawa kira-kira 200 tan bekalan makanan disediakan badan amal, World Central Kitchen (WCK) tiba di pantai Gaza dari Cyprus minggu lalu.

Sebanyak 500 tan bantuan lagi bakal dihantar dari Nicosia.

Menurut WCK, penghantaran beras, tepung, kekacang, makanan dalam tin, daging dan ayam mencukupi untuk menyediakan hampir setengah juta hidangan.

Difahamkan, WCK bertindak membina jeti untuk menerima bantuan melalui koridor maritim memandangkan tiada pelabuhan di wilayah tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Luar Britain, Lord Cameron turut menggesa Israel membuka pelabuhan laut dalam Ashdod yang terletak di utara Gaza yang mana bantuan boleh dihantar dari Cyprus sebelum dibawa masuk ke wilayah terkepung itu.

Bantuan udara

Amerika Syarikat (AS), Jordan, Mesir, Perancis, Belanda dan Belgium telah menggugurkan bantuan ke sepanjang pantai Gaza sejak beberapa minggu lalu kerana bimbang dengan impak malapetaka kemanusiaan di wilayah tersebut.

Misi pertama dilakukan Washington adalah pada 3 Mac lalu dengan kerjasama Tentera Udara Jordan yang membawa lebih 38,000 bungkusan makanan selepas Amman menjadi perintis usaha tersebut.

Pada 21 Februari lalu, sebanyak empat tan bekalan ubat-ubatan, bahan api dan makanan dihantar Britain untuk pesakit serta staf di Hospital Tal al-Hawa digugurkan Tentera Udara Jordan di Bandar Gaza.

Agensi bantuan kemanusiaan mendakwa bantuan dari udara itu masih tidak dapat memenuhi keperluan kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza. Malah, Program Makanan Sedunia (WFP) menyifatkan ia sebagai 'pilihan terakhir' untuk mengelakkan krisis kebuluran.

Jalan darat

Barat berulang kali menggesa rejim Tel Aviv supaya memberikan akses kepada penghantaran bantuan menerusi jalan darat dan menyediakan lebih banyak laluan serta lintasan sempadan.

Pada akhir Februari lalu, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, terdapat sejumlah besar bekalan makanan menunggu kebenaran untuk memasuki Gaza, namun sekatan Israel menjadi penghalang utama.

Konvoi pertama terdiri daripada 20 trak membawa 60 tan bekalan makanan yang tiba di Gaza melalui lintasan Rafah adalah pada 21 Oktober lalu.

Sebulan kemudian, WFP memberitahu, hanya 10 peratus stok makanan diperlukan penduduk Palestin dihantar ke enklaf tersebut.

Ia disusuli dengan penghantaran kira-kira 750 tan bekalan makanan pada 20 Disember lalu menggunakan lintasan Kerem Shalom (Karim Abu Salam) buat pertama kali.

Secara total, WFP hanya boleh membawa masuk empat konvoi bantuan ke Gaza yang dapat memenuhi keperluan hampir 130,000 penduduk Palestin.

Baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan laluan darat baharu telah digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke utara Gaza yang dapat mengisi perut kira-kira 25,000 penduduk Palestin buat pertama kali dalam tempoh tiga minggu.

Namun, penghantaran ke kawasan itu dicemari dengan insiden serangan berdarah apabila rejim Zionis didakwa sengaja menjadikan trak bantuan sebagai umpan untuk membunuh penduduk utara Gaza. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28