LAHAD DATU - Polis meminta saksi yang merakam video kejadian penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa menggunakan kekerasan terhadap penunggang motosikal yang tular di media sosial agar tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, saksi berkenaan boleh ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana IPD atau balai polis berdekatan untuk diambil keterangan.
"Dalam kejadian semalam kira-kira jam10.30 pagi yang berlaku di Kilometer 23, Jalan Lahad Datu-Sandakan, saksi berkenaan dipercayai merakam video berdurasi 45 saat yang memaparkan anggota JPJ melakukan kekerasan, dengan menendang penunggang motosikal lelaki," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis jawab isu video tular JPJ
JPJ siasat video pegawai pukul penunggang motosikal
Penunggang motosikal berumur 20 tahun itu ditahan, selepas cuba melarikan diri dari sekatan jalan dan bertindak merempuh dua pegawai JPJ yang bertugas sehingga pegawai berkenaan terpaksa menggunakan kekerasan untuk menahannya. - Bernama