SHAH ALAM – Menyertai Iftar Ala Madinah@Karangkraf bagi sesetengah pengunjung mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri kerana memberikan kenangan cukup berharga untuk diingati.
Kesempatan berbuka puasa bersama keluarga, rakan taulan atau jiran tetangga di Dataran Karangkraf di sini, digunakan sebaiknya untuk mengeratkan hubungan sesama insan dan mengimarahkan Ramadan.
Penduduk Seksyen 16 di sini, Zolkefli Ahmad Dahlan, 45, berkata, setiap tahun dia akan hadir bersama keluarga untuk menyertai Iftar Ala Madinah@Karangkraf."Saya akan hadir bersama keluarga dan jiran tetangga.
Bagi saya ini adalah salah satu cara untuk kami meraikan persahabatan yang sudah menginjak usia belasan tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, bukan mudah untuk mencipta persahabatan, justeru kesempatan itu digunakan dengan sebaiknya untuk mereka lebih mengenali antara satu sama lain.
Sementara itu, Nurul Huda Rahimi, 27, berkata, dia pertama kali menyertai iftar berkenaan selepas terbaca hebahan mengenainya di media sosial.
Pekerja swasta Mohd Amin Na'im, 25, pula berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berbuka puasa bersama rakan sepejabat.
"Jadi kami datang dari Subang Jaya dengan dua kereta seramai enam orang untuk berbuka puasa di Karangkraf kerana ada yang cakap menu berbukanya amat luar biasa,” katanya.
Bagi anggota polis, Mohd Azizi Mohd Nor, 38, kesibukan kerja bukan halangan buatnya untuk berbuka puasa bersama keluarga.
"Saya pun kerja tidak jauh dari Kumpulan Karangkraf, jadi bila ada kesempatan saya akan bawa keluarga untuk keluar berbuka puasa dan pastinya iftar ala Madinah ini menjadi pilihan kerana berdekatan dengan rumah dan tempat kerja,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28