KUALA LUMPUR - Isu diskriminasi Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit yang dikeluarkan di negara ini antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Teresa Kok (PH-Seputeh) kepada Menteri Perladangan dan Komoditi pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Teresa ingin tahu sama ada keputusan panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap rayuan Malaysia berkenaan diskriminasi EU terhadap minyak sawit masih membenarkan EU untuk melaksanakan Akta Delegasi yang mengharamkan minyak sawit sebagai biofuel menjelang 2030.
Pada sesi sama, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pula meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan pendirian kerajaan terhadap tawaran kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ekoran Victoria, Australia menarik diri daripada menjadi tuan rumah tahun lepas berikutan peningkatan kos penganjuran.
Pada sesi soal jawab, Teresa dijadual sekali lagi bertanyakan kepada Menteri Dalam Negeri jumlah polis yang telah diambil tindakan disiplin sejak Disember 2022 dan aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak ia beroperasi.
Persidangan Dewan Rakyat juga dijadual membincangkan usaha Kementerian Kewangan melalui Bank Negara untuk mengawal selia penetapan premium insurans kesihatan oleh syarikat insurans yang dikemukakan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi soal jawab.
Selesai sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan bagi Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2024 dan kemudiannya penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri.
Turut disenarai dalam aturan mesyuarat itu ialah pembentangan bacaan kali kedua RUU Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 dan RUU Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini. - Bernama