Lebih banyak pangkalan haram akan diroboh - PGA

Iklan
Sheik Azhar (dua dari kiri) memeriksa kenderaan di laluan SJR Cabang Empat Salam di Rantau Panjang.

PASIR MAS - Lebih banyak pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang dipercayai menjadi laluan tikus kepada pelbagai kegiatan jenayah penyeludupan akan dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner, Sheik Azhar Sheik Omar, berkata, perobohan itu akan berterusan selepas Pangkalan Haram Kubor dan Tanjung di Pengkalan Kubor, Tumpat dirobohkan pada 7 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang mengenal pasti mana-mana pangkalan haram seterusnya di kedua-dua daerah berkenaan.

Sheik Azhar (kiri) yang bertemu dengan anggota-anggota di SJR di Rantau Panjang, Pasir Mas.

"Selepas dua pangkalan haram dirobohkan, kami akan terus bekerjasama dengan PBT iaitu Majlis Daerah Tumpat dan Pasir Mas.

Iklan

"PBT ini yang akan menentukan status sama ada pangkalan haram itu di tanah kerajaan atau persendirian untuk diroboh dengan bantuan dan kawalan keselamatan daripada PGA,” katanya kepada pemberita di Majlis Iftar bersama Batalion 9 Kuala Terengganu Op Taring Wawasan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, di sini pada Rabu.

"Hanya PBT yang akan menentukan perkara itu dan bukan pihak polis.

Iklan

"Apa yang kami lihat, pangkalan haram ini kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada. Misalnya jika dikuatkuasakan, pangkalan itu akan beralih ke tempat lain,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan membincangkan langkah menghapuskan kemudahan logistik haram terutama di kawasan sempadan utara negara ini dengan negara jiran iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan.

Cadangan bermula di Kelantan dahulu sebab kewujudan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, di sebelah negara ini.

Perkara itu melibatkan kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh membantu terutama dari segi kalau pangkalan itu didirikan di rizab Jabatan Pengairan dan Saliran atau tanah milik kerajaan negeri serta bidang kuasa PBT.

_______________________________________________________________________________________________________________

Stor haram transit barang penyeludupan diberi notis saman

PASIR MAS - Sebanyak tiga notis saman dikeluarkan kepada pemilik-pemilik stor haram yang dipercayai dijadikan sebagai transit barangan kontraban termasuk senjata api, dadah dan warga asing di sempadan Malaysia-Thailand di Tumpat.

Sheik Azhar (kanan) beramah-mesra dengan anggota yang bertugas pada Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner, Sheik Azhar Sheik Omar, berkata, notis dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan pada dua operasi bersepadu bersama PGA dalam tempoh sebulan.

Menurut beliau, operasi selainya turut melibatkan penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan serta Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Kelantan.

"Stor-stor dipercayai dijadikan tempat transit kontraban daripada Thailand ke negara ini sebelum dibawa keluar melalui jalan-jalan tikus.

"Kami percaya barangan termasuk senjata api, dadah atau pendatang-pendatang asing ini diseludup ke kawasan pantai timur,” katanya kepada pemberita di Majlis Iftar bersama Batalion 9 Kuala Terengganu Op Taring Wawasan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, di sini pada Rabu.

Menurut Sheik Azhar, stor-stor itu juga berada di atas tanah persendirian namun pemiliknya tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak PTB.

"Jadi tindakan notis saman dikeluarkan oleh pihak berkenaan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, Op Taring Wawasan Kelantan yang bermula pada 1 Januari hingga 19 Mac lalu merekodkan 360 kes dengan tangkapan 340 individu atas pelbagai kesalahan dengan keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM17 juta.

"Kes-kes terutamanya melibatkan tangkapan pendatang asing tanpa izin dan kontraban termasuk dadah.

"Operasi penguatkuasaaan diteruskan sepanjang Ramadan melalui kekuatan PGA di 16 pos statik di pengkalan haram, sekat pintas dan lima SJR dan diyakini mampu mengekang gejala penyeludupan di sempadan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28