BEKAS penyerang Manchester City dan Real Madrid, Robinho diarahkan untuk menjalani hukuman rogol sembilan tahun yang dikenakan ke atasnya oleh mahkamah Itali di Brazil, menurut keputusan hakim di Brasilia pada Rabu.
Mahkamah memutuskan dengan sembilan undi berbanding dua undi untuk memihak kepada permintaan Itali agar Robinho menjalani hukumannya di negara kelahirannya selepas dia didapati bersalah mengambil bahagian dalam rogol berkumpulan terhadap seorang wanita Albania, yang sedang meraikan ulang tahun ke-23 pemain itu di sebuah kelab malam di Milan pada 2013.
Peguam berkata, Robinho yang tidak hadir semasa pendengaran pada Rabu akan terus bebas, sementara menunggu kemungkinan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Robiho atau nama sebenarnya Robson de Souza telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah Itali pada 2017.
Hukumannya disahkan oleh mahkamah tertinggi Itali pada tahun 2022, selepas itu pihak pendakwa Itali mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadapnya.
Dia juga telah kalah di Mahkamah Rayuan Milan pada tahun 2020.
Bagaimanapun, Brazil tidak mengekstradisi Robinho atas sebab undang-undang dan memaksa Itali meminta agar pemain tersebut diarahkan untuk menjalani hukuman di negara kelahirannya.
Pemain bola sepak itu yang menafikan kesalahannya, memberitahu rangkaian TV Brazil, TV Record dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad bahawa hubungan seks itu adalah"sukarela".
"Saya tidak pernah menafikannya (pertemuan itu). Saya boleh menafikannya kerana DNA saya tidak ada di sana, tetapi saya bukan pembohong."
Dia juga menuduh sistem keadilan Itali sebagai rasis.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28