'Jaga petak masing-masing' - Sanusi

Iklan
Sanusi dan Saifuddin Nasution

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas kenyataan Pengerusi Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membuat kenyataan sinis terhadapnya.

Sanusi sebaliknya menegur Menteri Dalam Negeri itu supaya belajar menghormati bidang tugas orang lain selain dinasihatkan bekerja mengikut sistem sedia ada.

Iklan
Iklan

"Berada dalam petak masing-masing. Mahu melawat sekali sekala tak salah, tetapi projek itu ada penguasanya mengikut peraturan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Menurutnya, setiap kerja akan menjadi berselerak sekiranya ada pihak enggan mematuhi sistem kerja dengan campur tangan pada peringkat yang bukan bidang kuasanya, sebaliknya tugasan yang sepatutnya dilakukan pada peringkatnya pula diabaikan.

Iklan

"Kita bekerja atas landasan kita, tidak ‘cilok’ landasan orang lain sesuka hati. Kita telah ada sistem kerja pada setiap peringkat dengan fungsi setiap agensi dan jabatan yang diwujudkan.

Sanusi memaklumkan, pelaksanaan lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang berjalan pada ketika ini mempunyai Pegawai Penguasa Projek (PP) yang dilantik selepas projek terbabit diluluskan, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Iklan

"PP sebagai penguasa telah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah sebagai wakil PP yang menubuhkan sebuah Unit Teknikal JKR, iaitu Pasukan Projek Air Kedah (PPAK) pada 2021 dengan objektif mengukuhkan lagi kaedah atau mekanisme pemantauan projek LRA,” ujarnya.

Laporan Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, selaku badan sah mewakili Pegawai Penguasa Projek dalam menangani isu berbangkit berhubung projek berkenaan, sebarang arahan atau pandangan sama ada daripada menteri penyelaras atau timbalan menteri termasuk menteri besar sekalipun wajib melalui struktur carta aliran dalam sistem kerja tanpa terkecuali.

"Saya rasa sindrom ini pernah berlaku ketika kerajaan 22 bulan dan diulang lagi pada ketika ini.

"Puncanya mereka tidak percaya kepada keupayaan pegawai kerajaan yang terlatih dan sistem kerja yang sudah ‘establish’. Apabila projek lambat, mereka cari orang lain untuk disalahkan.

"Bila projek itu siap kelak, mereka akan ada di depan untuk tuntut politik milage. Itu saja la depa (mereka) reti (tahu). Politik 24 jam!” tegasnya.

Pertikaman lidah antara Sanusi dan Saifuddin berlarutan apabila pada Selasa, Saifuddin membuat kenyataan sinis terhadap Sanusi dengan mengatakan, beliau tidak mahu mengganggu tumpuan Sanusi membangunkan The Greater Kedah meskipun Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri tidak diadakan.

Saifuddin secara sinis menyatakan biarlah dirinya memantau projek kecil seperti LRA, sementara Sanusi menjaga projek bernilai bilion ringgit seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), litar lumba di Sungai Petani serta jambatan darat Kedah-Songkhla.

Sebelum itu, Sanusi menyifatkan alasan Saifuddin yang tidak mengadakan mesyuarat kerana bimbang berlaku kebocoran maklumat rahsia sebagai 'mengada-ngada'.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 7 Mac lalu, Sanusi dilaporkan kesal dengan tindakan Saifuddin yang tidak memanggil mesyuarat lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri sejak majlis tersebut ditubuhkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28