KUALA LUMPUR - Punca kematian bayi perempuan berusia tiga bulan enam hari di rumah pengasuhnya di Presint 15, Putrajaya, Selasa lalu, masih belum dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, setakat ini ia diklasifikasikan sebagai 'Pending Laboratory Investigations'.
"Namun sebab kematian masih belum dikenal pasti dan sampel organ (mangsa) diambil oleh doktor untuk tujuan siasatan lanjut," katanya pada awal pagi Khamis.
Pada Rabu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan enam hari meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15, Putrajaya, Selasa lalu.
Menurut Asmadi, bayi malang itu baru sahaja dihantar selama dua hari ke rumah pengasuh tersebut.
"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas bayi itu tidak menemui sebarang kesan kecederaan justeru mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, pada Rabu.
Asmadi turut memaklumkan, polis telah merakamkan percakapan daripada ibu bapa mangsa dan pengasuh.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28