KOTA BHARU - Kegiatan pengemis di sekitar bandar Kota Bharu sepanjang Ramadan hingga tibanya Syawal dikesan didalangi kumpulan sindiket warga tempatan.
Perkara itu didedahkan sumber pihak berkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam Op Papa Bersepadu Ramadan, di sini pada Khamis.
Kata sumber berkenaan, modus operandi yang digunakan sindiket ialah dengan mengumpulkan warga asing dari Thailand sekitar seminggu atau sehari sebelum Ramadan ke negara ini untuk mengemis.
"Kebiasaan apabila mulanya Ramadan, ramai pengemis asing dari Thailand datang melalui sindiket.
"Modus operandi sindiket yang didalangi warga tempatan ini akan mencari warga asing di Thailand dan penduduk tempatan yang miskin atau kelihatan miskin bagi menarik simpati orang ramai termasuk wanita bersama anak kecil atau bayi dan orang kurang upaya untuk mengemis di Kota Bharu,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, daerah itu menjadi lokasi pilihan utama kegiatan sindiket pengemis kerana sikap pemurah orang ramai yang suka memberi derma dan bersedekah.
Katanya, selepas pengemis dikumpulkan, sindiket seterusnya akan membawa mereka ke sebuah rumah yang disewakan khas selama sebulan sebagai transit semasa menjalankan kegiatan mengemis terbabit.
"Dua hingga tiga tahun lalu, kami pernah menahan pengemis warga Thailand yang ditempatkan di sebuah rumah sewa berdekatan Masjid Muhammadi.
"Sindiket ini yang akan menyediakan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar pengemis menggunakan kenderaan atau kereta milik sindiket.
"Bermula jam 9 pagi, sindiket menghantar mereka ke lokasi strategik seperti pekarangan bank dan tempat laluan orang ramai seperti di Bazar Buluh Kubu atau sekitar pasar sebelum diambil semula untuk pulang ke rumah sewa pada jam 6 petang,” ujarnya.
Jelas sumber itu lagi, berdasarkan siasatan dan keterangan daripada pengemis yang ditangkap sebelum ini mengakui membahagikan hasil kutipan sama rata dengan sindiket.
"Pengemis umpama bekerja dengan sindiket itu dan akan mendapat separuh daripada hasil mereka mengemis manakala separuh diserahkan kepada sindiket.
"Ada juga jika yang mahu ‘kerja’ lebih masa, akan diambil dari rumah sewa dan dihantar mana-mana lokasi di Kota Bharu. Kitaran ini berlaku sehingga hari pertama Syawal sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing pada raya kedua,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28