GOMBAK - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau tidak boleh mencampuri urusan pihak berkuasa berhubung sebarang tindakan terhadap bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Sebaliknya Mohamed Azmin meluahkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT apabila kebenaran di sebalik video intim kontroversi itu akhirnya terungkai.
Menurutnya, beliau secara peribadi dari awal yakin bahawa video berkenaan adalah satu percaturan politik yang amat kejam dan tidak baik bagi negara.
"Saya tidak boleh mencampuri urusan pihak berkuasa (tindakan terhadap Haziq). Sudah tentu saya melalui satu tempoh yang agak panjang melalui ujian yang getir ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 500 jemaah hadir majlis kesyukuran Azmin
Video intim: Azmin bersyukur tiada pendakwaan
"Saya secara peribadi dan keluarga merasakan amat gembira dan bersyukur," katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran, Tausiah dan Doa Selamat itu di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves di sini malam ini.
Mohamed Azmin berkata, beliau kini boleh memberi tumpuan kepada kerja dan tugas yang diberikan.
Menurutnya, 2020 merupakan tahun yang amat penting bagi Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada hujung tahun ini.
"Sudah tentu semua pihak khususnya pimpinan negara sedang bertungkus-lumus membuat persiapan terbaik untuk menjadi tuan rumah," katanya.
Peguam Negara, Tommy Thomas pada Khamis lalu menjelaskan tiada pertuduhan akan dikemukakan dalam kes video intim kontroversi mengaitkan Mohamed Azmin dengan Haziq.
Keputusan itu dibuat susulan pakar forensik AS gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.
Rakaman video intim itu didakwa dirakam di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei 2019 sebelum tersebar menerusi beberapa kumpulan WhatsApp disertai pengamal media pada 11 Jun lalu.
Haziq kemudiannya mengaku dirinya adalah orang dirakam dalam video itu selain mendakwa Mohamed Azmin adalah individu bersamanya, sehari kemudiannya.
Sejak pendedahan itu, Mohamed Azmin menafikan dakwaan Haziq secara konsisten dan menyifatkan perbuatan itu sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya