APABILA ada orang membuat perkongsian tentang larangan memakai pakaian warna oren dan merah di media sosial baru-baru ini, ramai yang terkesima.
Maklum sahajalah, individu tersebut turut mengemukakan hadis berkaitan tentangnya.
Perkongsian itu menjadi bualan hangat. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai koleksi busana warna berkenaan.
Malah, ada juga yang sudah siap membeli pakaian raya dengan rona tersebut memandangkan ia dijangka menjadi trend pada tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, dalam isu tersebut, terdapat banyak perbezaan pendapat dalam kalangan ulama sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari.
"Namun, kita kena faham faktor (illat) yang menyebabkan pengharamannya ketika itu termasuklah fiqh waqi’. Pada zaman itu, fabrik warna merah, oren atau kuning dicelop zafron atau usfur (tumbuhan) yang mana ia dilarang kerana merupakan perhiasan bagi kaum wanita.
"Tiada isu tasyabbuh (menyerupai) sami Buddha dalam hal ini,” tulisnya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya baru-baru ini.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Muhamad Rozaimi Ramle pernah menulis hantaran berkaitan larangan warna bagi lelaki menerusi laman sosial Facebook miliknya sebelum ini.
Walaupun para ulama berbeza pandangan tentangnya, menurut perspektifnya, warna merah sememangnya dilarang untuk dipakai jika tiada campuran warna lain.
"Kalau campur, tak dilarang dalam hadis, tetapi perlu diketahui bahawa larangan merah ini kerana ia warna pakaian wanita zaman dahulu. Namun, suasana pada hari ini sedikit berbeza kerana ia bukan lagi khusus untuk perempuan.
Berhubung dakwaan makruh memakai pakaian berwarna oren kerana menyerupai sami, Sinar Islam merujuk kepada jawapan pendakwah, Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al-Hamid yang pernah dilontarkan persoalan itu sebelum ini.
Secara umumnya, jelas beliau, apa juga warna pakaian yang disarung, terdapat hukum harus, makruh dan sunnah.
"Memakai warna putih misalnya amat digalakkan, kemudian yang harus pula berwarna-warni secara umumnya.
"Paling penting, tidak (berpakaian) yang terlalu terang seperti warna merah contohnya yang menjadi perbahasan para ulama hadis. Ada yang mengatakan harus, selebihnya mengatakan makruh,” katanya.
Andai ia melibatkan pakaian yang menyerupai orang tidak beriman kepada ALLAH SWT, agamawan itu menjelaskan, ia dilarang sama sekali jika kita bermaksud untuk menyerupai mereka.
"Di sini ada larangannya walau apa pun warnanya. Misalnya, kalau orang memakai kain berwarna putih dengan maksud untuk menyerupai golongan tidak beriman pakai warna itu, maka di sini pun salah dalam pemakaiannya, bukan disebabkan oleh warnanya, tetapi kerana nawaitunya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video dikongsikan di YouTube Kuliah Lembah Klang.