KULAI - Isu kepadatan murid atau pelajar dilaporkan tidak berlaku pada sesi persekolahan baharu di Johor tahun ini.
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, masalah yang pernah timbul sebelum ini telah dapat diatasi dengan dua sesi persekolahan pada sebelah pagi dan petang.
"Setakat ini masih lagi terkawal di Johor, belum ada lagi sekolah (padat) dan sekiranya ada sekolah terbabit digalakkan membuat dua sesi persekolahan.
"Di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) jika berlaku perkara itu akan dibuat dua sesi. Seperti di Kangkar Pulai yang dilaporkan pada tahun lepas berdepan isu kepadatan murid dan pelajar, sudah melaksanakan sekolah dua sesi ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu Aznan memberitahu isu penyelenggaraan sekolah yang berusia lebih 30 tahun di negeri ini akan diberi tumpuan.
Katanya, penyelenggaraan infrastruktur sekolah berkenaan dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan guru.
"Fokus utama saya pada masa kini adalah untuk memastikan anak-anak Bangsa Johor belajar dan berada di dalam persekitaran yang kondusif.
"Saya juga akan membuat pemantauan secara berkala dan mengejut ke sekolah-sekolah bagi melihat persekitaran dan infrastruktur sekolah berada dalam keadaan yang baik," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan Johor telah memperuntukkan dana hampir RM15 juta sejak dua tahun lalu bagi menaik taraf infrastruktur di sekolah-sekolah.
Mengulas mengenai baik pulih SMK Tunku Abdul Rahman Putra yang berusia lebih 50 tahun itu, ujarnya, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan dana sebanyak RM80,000.
Peruntukan itu bagi kerja-kerja baik pulih siling yang rosak dan pecah serta kerja-kerja menukar pintu yang telah rosak dan usang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28