KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk mengembalikan permulaan sesi akademik persekolahan kepada setiap Januari bermula 2026, Dewan Negara diberitahu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh tentang rancangan jangka masa panjang KPM untuk sesi persekolahan dikembalikan pada Januari bukan Mac.
"Sesi pembukaan sekolah yang bermula pada Mac (pada masa ini) akan kita kembalikan kepada Januari (bermula) 2026, ini komitmen penting untuk kembalikan sesi akademik (prapandemik). Insya-ALLAH pada Januari 2026," katanya.
Kalendar akademik dalam negara terpaksa diubah bermula Mac sejak 2022 berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas dilaporkan berkata, kerajaan telah memulakan usaha menyusun dan mengawal Kalendar Akademik Persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025 bagi memastikan sesi persekolahan pada 2026 dapat berlangsung pada Januari hingga Disember.
Sementara itu, dalam sesi soal jawab berasingan, Fadhlina berkata, KPM sedang merealisasikan cadangan melanjutkan dasar pendidikan wajib sehingga ke peringkat sekolah menengah.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum draf rang undang-undang pendidikan melibatkan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) digubal dan dimuktamadkan.
"Cadangan ini dalam proses mendapatkan ulasan daripada kementerian-kementerian lain yang berkaitan. Selepas proses itu selesai, dasar tersebut akan dibawa ke Parlimen," katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr R. Nelson yang ingin tahu status terkini dasar mewajibkan pengajian sekolah menengah dalam negara dan sasaran pelaksanaan sepenuhnya bagi mengelakkan keciciran pelajar sekolah rendah. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28