Yadim laksana 4 pendekatan perluas pemahaman isu sensitif umat Islam

Iklan
Hasanuddin Mohd Yunus

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan melaksanakan empat pendekatan bagi memperluas pemahaman dan libat urus dengan masyarakat bukan Islam berhubung perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Yang Dipertua (YDP) Yadim, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pendekatan berkenaan diambil susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang mahu memperluaskan pemahaman mengenai isu sensitif umat Islam.

Iklan
Iklan

"Badan dakwah yang sudah berusia 50 tahun ini mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama untuk menggalas tugas yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat bagi mencapai aspirasi Malaysia Madani.

"Badan bersama-sama Yadim seperti Majlis Amal Islami Malaysia, Nadwah Ulama dan Ilmuan Yadim dan Majlis Wanita Islam Yadim akan menggunakan pendekatan akademik seperti wacana, forum silang budaya dan seminar bagi memberi pencerahan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, Yadim akan menggerakkan Rakan Siswa Yadim, Rakan Belia Yadim dan Rakan Remaja Yadim untuk turut bersama-sama dengan komuniti bukan Islam bagi peringkat mahasiswa serta belia.

Menurutnya, langkah mesra dan akademik dalam kalangan belia dan anak muda akan memberi kesan positif jangka panjang ke arah keharmonian negara.

Iklan

Tambah Hasanuddin, pendekatan melalui sukarelawan Yadim (Say) mampu berperanan sebagai ejen perpaduan menerusi program-program kemasyarakatan dan kebajikan kerana segala program yang dianjurkan Say terbukti memberi kesan positif dalam mencapai keharmonian kaum serta masyarakat.

"Akhirnya, Yadim mempunyai program tahunan dalam melatih pelapis muda dakwah iaitu Akademi Daie Muda Yadim (ADMY).

"Dalam program ini, pelatih ADMY diterapkan dengan modul silang budaya dan agama yang mengandungi pengisian untuk mereka berinteraksi dengan pelbagai pihak bukan Muslim di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, yayasan berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang bentuk idea serta cadangan bagi menambah baik usaha menyantuni pelbagai masyarakat di negara ini.

"Beberapa program bersama rakan bukan Muslim telah pun dilaksanakan oleh Yadim seperti pertemuan dengan Gereja Besar St Anne di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan kunjungan mesra ke Persatuan Hindu Sangam Malaysia serta program menyantuni masyarakat Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” jelasnya.