Bekalan air Melaka bertahan hingga Jun

Iklan
Hameed Mytheen menunjukkan rumah pam sementara kolam alternatif Tasik Ayer Keroh di sini, pada Khamis.

MELAKA - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan air mencukupi sehingga Jun depan termasuk pada hari raya Aidilfitri ini meskipun Melaka berdepan dengan keadaan cuaca panas berpanjangan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Basheer, berkata, pihaknya telah mengambil langkah siap siaga lebih awal dengan memastikan paras di setiap empangan negeri ini masih di paras normal dan tidak kritikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini Empangan Durian Tunggal masih merekodkan paras 80 peratus, Empangan Jus di paras 95.7 peratus manakala Empangan Asahan pada paras 95.5 peratus.

Katanya, kerajaan negeri juga telah memohon kepada Jabatan Meterologi Malaysia (MET) untuk melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada bulan lalu, namun kemungkinan pihak berkenaan melihat belum ada keperluan untuk negeri ini melalui proses tersebut.

Iklan

"Pada hari raya tiada masalah bekalan air dan kita boleh bertahan sehingga Jun tanpa ada sebarang catuan namun rakyat perlu bekerjasama melakukan penjimatan air.

"Pengguna dan masyarakat juga tolong berikan kerjasama, bila nampak paip bocor tolong buat laporan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk mengelak pembaziran," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Tasik Ayer Keroh dan rumah pam sementara kolam alternatif Tasik Ayer Keroh di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Zahari Khalil dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Norisham Abdul Talib.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau menafikan gambar tular mengenai pengurangan paras air di Tasik Ayer Keroh disebabkan kemarau dan El Nino yang dihadapi kini.

Menurutnya, pengurangan yang berlaku disebabkan pengepaman air sebanyak 15 juta liter sehari dari Tasik Ayer Keroh ke Sungai Melaka melalui Sungai Anak Ayer Padang Keladi bermula 4 Februari hingga Mac lalu.

"Ini bagi meningkatkan paras air Sungai Melaka namun berikutan paras tasik yang kini rendah, pengepaman air dari tasik ke sungai Melaka telah dihentikan," katanya lagi.