NILAI - Seorang pelatih lelaki di sebuah pusat pemulihan dadah di sini mengalami kecederaan di seluruh anggota badan akibat dipukul oleh pekerja pusat tersebut sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, laporan polis mengenai kejadian itu diterima daripada seorang wanita pada Selasa lalu jam 6.58 petang menyatakan adik iparnya telah dipukul semasa berada di pusat berkenaan.
"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 38 tahun telah dipukul sejak mula mendaftar masuk ke pusat pemulihan dadah tersebut kira-kira tiga bulan yang lalu.
"Mangsa mengalami kecederaan di seluruh anggota badan dan kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan untuk menjalani pembedahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, susulan daripada kejadian ini, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 25 dan 48 tahun pada Rabu, yang merupakan pekerja sukarelawan pusat pemulihan dadah swasta tersebut untuk siasatan.
"Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis dan telah diluluskan selama empat hari sehingga Ahad ini.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28