KUALA LUMPUR - Taktik sindiket penyeludupan mengikrar 1,450 televisyen sebagai batu marmar terbongkar menerusi pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
Barangan elektronik dipercayai dari negara jiran itu dikesan dalam sebuah kontena pada 16 Februari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi berdasarkan risikan mendapati cubaan membawa masuk dagangan kontena iaitu barangan elektronik berupa televisyen android yang disyaki tidak berkastam.
"Pemeriksaan turut dijalankan melibatkan pegawai dari Unit Kelengkapan Elektrik, Jabatan Kawal Selia Keselamatan dan Suruhanjaya Tenaga.
"Hasil pemeriksaan menemukan televisyen android dan skrin monitor berbagai saiz tidak berkastam berjumlah 1,450 unit dengan anggaran nilai sebanyak RM450,000 membabitkan jumlah cukai dan duti berjumlah RM190,480," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks JKDM Zon Tengah di sini pada Khamis.
Katanya, pengimportan barangan elektronik memerlukan Perakuan Kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM Berhad.
"Siasatan mendapati pengimportan barangan elektronik ini tidak mematuhi kehendak Jadual ke 4, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Siasatan lanjut sedang giat dilakukan bagi mengesan modus operandi seterusnya dan seorang individu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28