Usaha Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menganjurkan kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony bagi menyatupadukan etnik di negara ini mendapat sokongan padu pemimpin terutamanya bukan Melayu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Malaysia memerlukan individu seperti Hussamuddin dalam mengeratkan hubungan kaum yang kini semakin rapuh.
"Saya amat bersetuju dengan gesaan beliau (Hussamuddin) supaya semua pihak tidak terus memainkan isu perkauman dan agama berikutan suasana hubungan kaum kini semakin parah.
"Saya sokong usaha Sinar Harian menyatupadukan negara. Negara memerlukan orang seperti (Datuk) Hussamuddin yang merupakan bridge builder dan bukannya bridge burner,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini perlu fokus kepada apa yang penting kepada negara dan bukannya mendahulukan kepentingan diri atau kaum dan agama sendiri.
Katanya, Malaysia kini seolah-olah dibajak oleh golongan ekstremis kerana sering memainkan isu agama dan kaum.
"Wawasan 2020 digarap oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990 jelas, kita mahu menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, progresif dan sederhana, sebuah bangsa Malaysia yang bersatu dan bersama membina negara ini berlandaskan teknologi maju, namun dihambat isu kaum dan agama.
"Semua itu bukanlah negara kita yang digambarkan dalam Wawasan 2020. Kita tidak boleh membiarkan negara ini terus hanyut tanpa tujuan jelas,” katanya.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula berkata, pemimpin politik tidak seharusnya menjadikan isu kaum dan agama sebagai platform untuk mempopularkan diri sendiri.
"Isu perkauman cara yang senang untuk mendapatkan sokongan dan undi rakyat tetapi isu seperti kos kehidupan, gaji minimum, kemiskinan, masalah perumahan dan kesihatan, semua ini menjadi mangsa bila isu perkauman dan agama digunakan.
"Politik sebegini harus ditolak kerana politik perkauman tidak akan membawa kebaikan untuk rakyat dan negara. Politik di negara harus selaras dengan Perlembagaan dan Rukun Negara kerana politik kematangan harus membawa kebaikan serta kualiti hidup yang baik untuk semua,” katanya.
Katanya, Malaysia boleh menjadi negara contoh dalam isu keharmonian antara kaum dan negara.
"Malangnya dalam beberapa tahun ini kita seperti terbahagi. Saya menyokong penuh pandangan Hussamuddin. Jadi sudah tiba masanya semua lapisan masyarakat untuk fokus membina negara terutamanya isu perkauman,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata, isu perkauman dan agama perlu ditangani secara berhemah antaranya melalui dialog dan jalan tengah.
"Kita perlu memberi tumpuan ke atas apa yang sama dan mengurangkan tumpuan terhadap apa yang membezakan kita.
"Saya menyokong penuh kempen dilakukan Hussamuddin untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk ini,” katanya.