Ahmad Zahid tak menegah saya bersuara - Dr Akmal

Iklan
Muhamad Akmal

NIBONG TEBAL - Pemuda UMNO mengingatkan DAP agar tidak menimbulkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka sebagai isu perkauman.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, isu berkenaan adalah semata-mata menunjukkan bagaimana orang Melayu Islam menentang KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) yang didapati telah menjual stoking berkenaan.

Iklan
Iklan

Muhamad Akmal berkata, yang menimbulkan isu ini sebagai isu perkauman adalah DAP.

"Jika anda tanya saya mengenai hubungan ini (DAP-Pemuda UMNO) keruh, ini bukan daripada saya. Isu stoking ini bukan isu kaum, yang buat isu kaum ni DAP, yang jadikan ia isu perkauman ini adalah DAP.

Iklan

"Sebab kami bercakap antara KK Super Mart dan umat Islam. Kami minta boikot KK Super Mart, bukan boikot agama, bukan boikot bangsa," katanya pada Rabu.

Muhamad Akmal ditemui di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Amin, Simpang Tiga di sini yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Menurutnya, isu yang dibangkitkan ketika ini adalah untuk menunjukkan solidariti umat Islam agar memboikot kedai serbaneka berkenaan.

"Saya nak beritahu kepada DAP, jangan timbulkan ini sebagai satu isu perkauman. Ini bukan isu perkauman, ini isu bagaimana kita menentang, orang Islam menentang KK.

"Kita nak tunjukkan solidariti kita bersama, tindakan yang tegas supaya ia tidak boleh berulang lagi. Berapa banyak kali dah berulang saya nak tanya?

"Banyak kali umat Islam diduga tetapi kita masih bertenang dan hari ini kita masih lagi bertenang sebab kalau ikutkan di tempat lain, di negara lain, mungkin KK sudah diserang tetapi umat Islam di negara kita masih dalam keadaan tenang," katanya.

Ujarnya lagi, umat Islam ada hak untuk memboikot mana-mana perniagaan seperti yang dilakukan ke atas dua perniagaan besar sebelum ini.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut menasihatkan kepada semua parti komponen agar menjaga sensitiviti agama Islam dan orang Melayu.

"Kalau nak bercakap mengenai perpaduan antara parti komponen, saya nak nasihatkan juga, you kena jaga sensitiviti, you tak sentuh orang Melayu, tak sentuh Islam, Pemuda UMNO tak akan sentuh kamu.

"Jadi senang, formula dan sifirnya mudah, you jangan sentuh bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ini kerana, orang Melayu tak pernah sentuh sensitiviti orang bukan Melayu," tegasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai nasihat Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO agar Pemuda UMNO tidak terlalu lantang dalam isu berkenaan, Muhamad Akmal berkata, beliau tidak akan berganjak walaupun seinci untuk menyuarakan isu berkenaan.

"Saya tidak akan berganjak walau seinci. Tadi saya ada jumpa beliau (Ahmad Zahid), tak ada apa-apa yang beliau katakan. Beliau pun tak menegah apa yang saya buat malah saya juga mendapat mesej daripada Majlis Kerja Tertinggi yang menyokong tindakan saya ini.

"Hari ini saya jumpa dgn Presiden pun, beliau masih tak ada cakap apa-apa, kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan saya rasa insyaAllah tak ada apa-apa yang berlaku sebab kami buat perkara yang betul. Jadi sudah tentulah siapa pun yang nak menghalang saya, dia tidak akan mampu untuk membuatnya.

"Saya masih dengan pendirian saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang akan membawa suara rakyat di bawah ini. Sudah tentu parti saya tak pernah menghalang saya untuk melakukan perkara-perkara untuk mempertahankan agama Islam, bangsa dan negara," katanya.

Pada Selasa, DAP menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Muhamad Akmal untuk memboikot kedai serbaneka KK Super Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Putrajaya malam Selasa.