KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia menunjukkan minat yang luar biasa untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun terdapat pelbagai laporan berkaitan kes integriti anggota pasukan itu akhir-akhir ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengambil contoh pengambilan untuk jawatan inspektor baru-baru ini, beliau berkata, PDRM menerima 40,000 permohonan walaupun kekosongannya hanya 400.
"Ada antaranya mempunyai keupayaan bertutur pelbagai bahasa, memiliki kelulusan profesional bahkan ada yang sudah jadi peguam dan sedang praktis menjadi peguam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan program pencegahan stres berasaskan syariah kepada anggota polis bermasalah berikutan terdapat beberapa kes kematian membabitkan mereka yang mengalami tekanan.
Menjawab pertanyaan itu, Saifuddin Nasution berkata, usaha pencegahan sentiasa dibuat secara berterusan seawal mungkin bermula dari proses pengambilan bagi memastikan kes-kes seperti itu dapat diminimumkan.
Beliau berkata, ini termasuk menjalankan ujian psikologi yang dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) PDRM.
"BAKA ialah bahagian yang akan menguruskan (meneliti) hal seperti itu termasuk insiden (kes) terpencil di beberapa kawasan yang sememangnya ada simptom tekanan kerja yang pelbagai, kadang-kadang disebabkan pertukaran tempat kerja baharu dan dia (anggota polis) tidak betah dengan suasana tempat kerja baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, sejak Disember 2022, seramai 1,466 anggota dan pegawai polis telah diambil tindakan disiplin kerana pelbagai kesalahan termasuk integriti.
Selain itu, katanya sebanyak 1,467 aduan juga telah diterima melalui Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) setakat 15 Mac lepas, meliputi pelbagai perkara termasuk rasuah. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!