Kenakan syarat lebih ketat sebelum benarkan pasukan beraksi

Iklan
B Sathiananthan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar mengenakan syarat yang lebih ketat sebelum memberikan kebenaran kepada pasukan-pasukan bola sepak negeri mahu pun kelab yang mahu beraksi dalam saingan liga bola sepak profesional di negara ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathiananthan berkata, FAM perlu bertegas dalam perkara ini dan syarat berkenaan perlu dikenakan demi mengelakkan timbulnya isu tunggakan gaji sebagaimana yang hangat diperkatakan pada ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mana-mana pasukan bola sepak negeri mahu pun pasukan kelab di negara ini perlu melihat serta menilai kemampuan masing-masing terutamanya dari segi kewangan sebelum terlibat dalam dunia bola sepak profesional.

"Bagi saya senang. Tegas tak tegas, pasukan negeri atau kelab kena tahu 'ukur baju di badan sendiri.' Kalau tak mampu tu jangalah (terlibat) dengan dunia (bola sepak) profesional.

Iklan

"Kalau tak mampu jadi pro, jadi amatur. Kalau bukan doktor pakar, jadi doktor biasa-biasa dan kalau tak mampu ikut syarat ditetapkan oleh FAM, Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MSL), jangan tipu diri sendiri.

"Kalau tak mampu bayar gaji, tutup kedai. Yang mampu masuk liga profesional dan yang tak mampu main Liga M3," katanya sebagai mengulas saranan bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail bahawa FAM tidak harus berkompromi berhubung isu masalah tunggakan gaji pemain.

Iklan

Katanya, setiap pengurusan bagi persatuan bola sepak negeri mahu pun kelab di negara ini perlu memiliki pengurusan serta perancangan kewangan yang cekap dan efisien.

"Lagi satu bagi saya, perancangan kewangan sesebuah pasukan itu perlu dibuat dengan teliti supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

"Hari ini ada pasukan yang tak mampu sebenarnya, tapi kata boleh 'dapat' dari sana, boleh 'dapat' dari sini, tapi belum dapat lagi. Ada juga yang kata boleh 'dapat' bila stadium penuh. Sebenarnya, memang kena kira betul-betul," katanya.

Sementara itu Sathiananthan berkata, masalah hutang yang wujud terutamanya bagi pasukan kelab atau negeri ketika ini adalah lanjutan daripada hutang-hutang yang tertunggak sejak bertahun-tahun lalu.

Menurutnya ada hutang berkenaan yang sudah berganda dan masih belum dapat diselesaikan sehingga ke hari ini dan seterusnya menimbulkan pelbagai masalah.

"Perkara ini (hutang) boleh dilihat di negeri-negeri. Ia bukan masalah sekarang. Dah lebih 10 tahun dulu dan kini dah jadi berganda. Tanyalah pasukan atau kelab di negeri, hutang dahulu berapa? Rasanya lebih besar daripada perbelanjaan pasukan musim ini.

"Tidak dinafikan ada pengurusan pasukan negeri, kelab yang bagus. 'Up to date' tapi dibebani hutang dahulu, jadi susah nak kendalikan sebab hutang kena bayar hingga ada yang terpaksa ke mahkamah.

"Bila dikaji semuanya akibat cukai pendapatan, EPF, denda dan sebagainya yang kini sudah berganda. Kalau FAM tambah geran pun sama juga masalahnya," katanya.