SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) akan mempertingkatkan kesedaran dan kemahiran berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi gig.
Naib Pengerusinya, Manivanan Gowin berkata, ini kerana kumpulan itu mempunyai potensi besar untuk memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi.
"Dilaporkan graduan TVET memiliki peluang pekerjaan yang cerah dalam industri termasuk kebolehpasaran yang melebihi 92 peratus.
"Inisiatif khusus untuk pekerja gig dan graduan TVET ini penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Kementerian Sumber Manusia akan terus mengukuhkan program latihan KKP bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan sumber manusia negara terbela.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, Niosh akan menerajui usaha berkenaan menerusi pelbagai program latihan berkaitan KKP.
Ujar beliau, agensi berkenaan akan memberi komitmen padu bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja terjamin.
Dalam pada itu, tambah Manivanan, usaha meningkatkan tahap kesedaran tersebut bagi pelajar lepasan TVET lebih mudah dilaksanakan melalui kerjasama di antara pihaknya dan institusi pengajian berkaitan di seluruh negara.
Beliau bagaimanapun mengakui usaha itu ada cabaran tersendiri kerana masih ramai yang bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan.
"Rekod daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan lebih kurang 300,000 pelajar lepasan SPM tidak berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan trend tersebut berkemungkinan disebabkan oleh pengaruh ekonomi gig.
"Namun kami yakin Niosh mampu mendekati pekerja gig dan juga graduan TVET melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat prihatin dengan kebajikan mereka," katanya.
Menurut Manivanan, ketika Anwar berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya baru-baru ini, beliau turut mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.
Ujarnya, di bawah OSHMP25 kerajaan menyasarkan pengurangan kadar kematian pekerjaan kepada 2.93 bagi setiap 100,000 pekerja, mengurangkan kadar kemalangan pekerjaan kepada 2.13/1,000 pekerja, meningkatkan kesedaran membuat diagnosis dan melapor penyakit serta keracunan pekerjaan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2025.
"Saya difahamkan NIOSH telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kursus pemanduan dan menunggang motosikal secara berhemah untuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-hailing serta p-hailing.
"Usaha ini perlu dipertingkatkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan e-hailing dan p-hailing terbabit," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28