Malaysia, India, Oman kongsi tangga kedua ranking hoki 5s

Iklan
Skuad hoki negara naib juara edisi sulung Piala Dunia 5s 2024. Foto International Hockey Federation (FIH)

RANKING dunia lelaki Hoki 5 sebelah (5s) pertama dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menyaksikan Malaysia berkongsi tempat kedua dengan India dan Oman.

Sementara itu, Belanda, juara Eropah yang memenangi Piala Dunia Hoki5s pertama di Muscat, Oman, Januari lalu mendahului ranking dunia dengan 1,750 mata.

Iklan
Iklan

Malaysia yang menduduki tempat keempat dalam Kejuaraan Asia pada Ogos lalu sebelum meraih kedudukan naib juara Piala Dunia, mengumpul 1,400 mata untuk berkongsi ranking kedua dengan juara Asia, India, yang menduduki tempat kelima dalam Piala Dunia dan Oman, yang menduduki tempat ketiga dalam pertandingan dunia itu.

Poland dan Mesir (1,350 mata) berkongsi tempat kelima dalam ranking dunia; Trinidad & Tobago dan Kenya (1,200 mata) terikat di tempat ketujuh manakala Pakistan (1,150 mata) dan Australia (1,100 mata) melengkapkan barisan 10 pasukan terbaik dunia.

Iklan

Sementara itu, pasukan hoki 5s wanita negara berada di tempat keenam dalam ranking dunia dengan 1,250 mata selepas menduduki tempat keenam dalam Piala Dunia dan diikuti rapat oleh Ukraine, New Zealand, dan Amerika Syarikat berkongsi tempat ketujuh dengan 1,200 mata.

Juara Piala Dunia, Belanda (1,750 mata), naib juara India (1,550 mata) dan Poland yang memenangi tempat ketiga (1,450) menduduki tiga tempat teratas. - Bernama

Iklan

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28