GOMBAK - Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera setelah motosikal ditunggang digilis lori dalam kemalangan dekat Jalan Sungai Tua, Selayang di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan sebelum itu diterima pihaknya kira-kira jam 6.11 petang berkaitan kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori dipandu lelaki berumur 52 tahun datang dari arah Sungai Tua.
"Setibanya di lokasi kejadian pemandu lori berkenaan mendakwa mendengar bunyi kuat di bahagian belakang lori sebelum memberhentikan lorinya.
"Pemandu kemudian mendapati terdapat sebuah motosikal di bahagian bawah lorinya itu," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa berumur 39 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Pembonceng dipercayai anak mangsa berumur lapan tahun itu pula mengalami kecederaan di kepala dan tangan," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
"Mangsa yang cedera dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28