PUTRAJAYA - Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 telah berjaya membangunkan data hidrologi dan amaran banjir untuk digunakan oleh pelbagai agensi pengurusan banjir sebagai persiapan menghadapi bencana itu.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dengan kos sebanyak RM129 juta, kementerian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membangunkan infrastruktur dan sistem bagi pelaksanaan PRAB di lembangan Sungai Terengganu, Kelantan, dan Pahang.
PETRA menjelaskan kos tersebut termasuk pembinaan 347 stesen hidrologi telemetri, pemasangan 132 buah siren dan sistem pemodelan banjir.
"Data ini juga digunakan oleh agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan badan pengurusan air negeri berdasarkan keperluan masing-masing,” menurut kenyataan itu.
PETRA berkata demikian bagi mengulas laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung PRAB Fasa 1 semalam, mendapati kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi PRAB Fasa 1 tidak berbaloi.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia berikutan bacaan aras air banjir dan ramalan berhubung masa dan tempat berlakunya banjir (dikenali sebagai HIT) tidak 100 peratus tepat.
PAC telah membentangkan laporan berhubung PRAB dengan membuat tujuh rumusan susulan prosiding pada 16 Jan lepas dengan memanggil saksi daripada kementerian, JPS, dan METMalaysia.
Mengulas lanjut, PETRA memaklumkan sistem pemodelan banjir di bawah projek berkenaan telah berhasil dikembangkan dengan menggunakan pendekatan hidrodinamik.
Menurutnya sistem tersebut mampu menghasilkan ramalan banjir untuk tujuh hari ke depan dengan menggunakan data hujan yang diramalkan oleh METMalaysia.
Katanya sebelum program ini dilaksanakan, kawasan pantai timur hanya memiliki dua model ramalan banjir yang berdasarkan model konvensional tanpa informasi ketepatan Ramalan dan Amaran Banjir mengikut kawasan atau HIT yang spesifik.
"Pencapaian HIT sebanyak 5.6 peratus merujuk kepada 18 kawasan yang telah mencapai ramalan amaran secara tepat iaitu apabila amaran banjir dikeluarkan dan kejadian sebenar berlaku di lokasi diramalkan.
"Pencapaian HIT tersebut telah berjaya melindungi sejumlah 4,500 penduduk dengan anggaran nilai kerugian banjir berjumlah RM5.31 juta dapat dielakkan.
"Sementara itu, sebanyak 56.5 peratus kawasan sekitar radius lima kilometer dari 183 kawasan yang diberi amaran turut mendapat manfaat,” katanya.
Pencapaian ini, katanya keberkesanan sebenar amaran banjir keseluruhan adalah 62 peratus dan ia sejajar dengan tahap pencapaian di peringkat global yang mana ketepatan HIT berada dalam julat 50 peratus hingga 70 peratus.
"Ketepatan ini dipengaruhi oleh faktor-faktor pembolehubah seperti taburan hujan, angin, tekanan udara dan suhu persekitaran mengikut masa dan ruang,” jelasnya.
Selain itu, PETRA memaklumkan amaran banjir juga disampaikan kepada orang awam melalui pelbagai platform seperti media sosial dan media massa termasuk lima juta SMS hasil kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam hal ini, PETRA mengalu-alukan syor PAC dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan maklumat yang tepat diterima oleh orang awam.
Antara syor PAC adalah PETRA dan JPS perlu memastikan baki 79 stesen daripada 118 stesen melaksanakan penukaran Remote Terminal Unit (RTU) dengan kadar segera bagi memastikan PRAB dapat berfungsi dengan sempurna. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!