PUTRAJAYA - PUTRAJAYA - Laluan SmartLane di setiap lebuh raya utama akan kembali diaktifkan oleh semua syarikat konsesi termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, keputusan itu dibuat susulan inisiatif pelaksanaannya pada perayaan Tahun Baharu Cina sebelum ini mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna jalan raya.
Menurutnya, pengguna diminta untuk menunggu pengumuman daripada syarikat-syarikat konsesi berkaitan berhubung tarikh dan jumlah keseluruhan lokasi SmartLane diaktifkan di setiap lebuh raya.
"Kita berterima kasih kepada pengguna jalan raya yang banyak memberikan maklum balas mengenai keberkesanan sistem SmartLane setelah ia mula diaktifkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina lalu.
"Kita akan memperbaiki sistem ini dari masa ke masa. Kementerian turut berharap sistem ini dapat memberi manfaat dan mempertingkatkan lagi aspek keselamatan pengguna jalan raya sepanjang perayaan Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Terdahulu, pengaktifan sistem SmartLane oleh beberapa konsesi termasuk PLUS dikritik banyak pihak kerana menimbulkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya.
Hal ini susulan kekurangan hebahan pemberitahuan mengenai lokasi-lokasi pengaktifan laluan SmartLane menyebabkan ramai pengguna jalan raya salah faham dan menyangka terdapat kenderaan menyalahgunakan laluan kecemasan untuk kepentingan diri.
Dalam perkembangan yang lain, Hasnol turut mendedahkan kementeriannya telah menggalakkan sebahagian syarikat konsesi lebuh raya untuk memperbanyakkan lagi penyediaan khidmat sistem pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit di plaza tol.
Jelasnya, jika lebih banyak lorong menyediakan khidmat berkenaan, kementerian yakin masalah kesesakan luar biasa disebabkan isu teknikal berhubung penggunaan kad Touch ‘n Go (TNG), SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) mampu diatasi.
"Kementerian menggalakkan setiap plaza tol menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong khidmat sistem pembayaran terbuka,” jelasnya.
Pada masa sama, Hasnol turut menjangkakan pembukaan empat pakej laluan jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di negeri Perak termasuk terkini Seksyen 11 yang menghubungkan Taiping ke Beruas mampu memberi sedikit kelegaan kepada pengguna jalan raya untuk pulang berhari raya terutamanya ke negeri-negeri utara semenanjung Malaysia.
"Kementerian turut berharap sebanyak empat pakej WCE di Selangor akan dapat disiapkan pada tahun ini.
"Pakej pembinaan jajaran WCE itu meliputi laluan Banting yang disambungkan ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) serta Bukit Raja yang disambungkan ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS), merupakan empat dari keseluruhan lima pakej pembangunan WCE di Selangor,” tambahnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28