Terbaharu, mereka bekerjasama dengan Sinar Harian melalui Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bagi memberikan pendedahan tentang kepentingan menabung kepada pengunjung yang hadir.
Melalui kolaborasi ini, Kelab Nuri menganjurkan aktiviti mewarna bagi menggalakkan pembentukan kreativiti kanak-kanak, sebagai pengisian kepada mereka sebelum waktu berbuka puasa.
Lebih menarik, hadiah diberikan dalam bentuk barangan kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang turut serta dalam aktiviti tersebut.
Aktiviti soal jawab juga disediakan kepada semua peringkat umur dan tiga pemenang menerima hadiah utama, manakala yang lain menerima token daripada Bank Rakyat.
Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 berlangsung dari 13 Mac hingga 5 April, menawarkan peluang unik kepada lebih 1,000 tetamu setiap hari untuk merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Pada program sama, Bank Rakyat mengedarkan sebanyak 500 pek juadah berbuka puasa dan 100 bubur lambuk kepada pengunjung yang hadir.
Pengunjung, Humaira Norudin, 33, berkata, aktiviti yang dianjurkan meningkatkan keyakinan diri anak-anaknya untuk bergaul dengan orang lain.
Ujarnya, anaknya yang berumur 11, 9 dan 8 tahun itu mengikuti aktiviti yang disediakan secara sukarela tanpa sebarang paksaan daripadanya.
"Anak-anak saya memang suka bergaul dengan orang baharu, mereka tak malu atau takut dengan orang.
"Saya sebagai ibu akan pantau mereka daripada jauh sahaja,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!