Cipta lampu 'lip lap' bunga api hiasi rumah

Iklan
Lampu lip lap versi bunga api dihasilkan Mohd Asrul cantik mewarnai malam Ramadan.

SHAH ALAM - Pejam celik, sudah masuk minggu kedua kita berpuasa, ramai yang mula teruja membuat persiapan menyambut Aidilfitri di rumah masing-masing termasuklah memasang lampu lip lap.

Seperti seorang pemuda, Mohd Asrul Harun, 38, yang tampil berkongsi cara buat sendiri (DIY) lampu lip lap bunga api di aplikasi TikTok miliknya untuk menghiasi laman rumah bagi menikmati kemeriahan malam-malam Ramadan.

Iklan
Iklan

Menerusi video yang dimuat naik, dia menghasilkan empat batang lampu itu dan mengambil masa selama dua jam dalam empat hari untuk menyiapkannya.

Ujarnya, idea untuk membuat lampu lip lap versi bunga api tersebut tercetus sebelum bulan puasa lagi dan dia berniat untuk menghasilkannya sendiri.

Iklan
Mohd Asrul menunjukkan cara membuat lampu lip lap versi bunga api.

"Saya memang nekad berniat hendak membuat lampu tersebut bagi menyambut bulan puasa, namun terlambat sedikit dapat menyiapkan dan memasangnya.

"Saya mula pasang pada hari keempat Ramadan, orang yang paling teruja melihatnya ialah anak-anak dan isteri. Saya sangat berpuas hati, malah turut terharu apabila ia dapat menggembirakan insan sekeliling termasuk jiran tetangga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Tambah Mohd Asrul yang juga seorang peniaga, dia tinggal di kawasan taman perumahan yang kadang-kadang ada ibu bapa datang membawa anak-anak melihat kemeriahan lampu tersebut selain orang ramai memberhentikan kenderaan di kawasan rumahnya.

Mohd Asrul dan keluarga.

"Untuk menghasilkan sebatang lampu lip lap itu saya keluarkan kos dalam RM80, penggunaan kayu itu agak mahal tapi kepada siapa yang ingin mencuba, boleh guna bahan yang lebih murah seperti besi atau kotak tebal.

"Saya berjaya hasilkan empat batang lampu, walaupun kos begitu saya tetap membuatnya juga untuk meraikan puasa dan raya yang hanya setahun sekali diraikan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28