MEMASUKI Ramadan ke-11 pada tahun ini, banyak persediaan telah dilakukan oleh segelintir masyarakat bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Namun begitu, isu biasa menjadi kebimbangan masyarakat setiap tahun adalah keadaan trafik jalan raya yang menyebabkan ramai tersangkut berjam-jam lamanya semata-mata hendak pulang ke kampung halaman.
Pada Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, laluan SmartLane di setiap lebuh raya utama akan kembali diaktifkan oleh semua syarikat konsesi termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ujar beliau, keputusan itu dibuat susulan inisiatif pelaksanaannya pada perayaan Tahun Baharu Cina sebelum ini mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, menurutnya, pengguna masih perlu menunggu selanjutnya bagi mendapatkan maklumat terperinci seperti tarikh dan keseluruhan jumlah lokasi SmartLane yang bakal diaktifkan di setiap lebuh raya.
Di samping itu, kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis juga antara perkara yang wajar menjadi perhatian ramai terutamanya bagi pengguna jalan raya.
Beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis itu memberi bayangan kemungkinan terdapat pengumuman pemberian tol percuma bersempena dengan sambutan Aidilfitri nanti.
Oleh itu, dijangka beberapa hari sebelum menyambut Aidilfitri tahun ini, pasti menjadi banyak inisiatif menarik yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai.
Ia belum mengambil kira lagi pengumuman berhubung pembinaan semula pembentung dan jalan runtuh akibat banjir di Kilometer (KM) 73.85 Jalan Dabong - Jeli (FT 66) berhampiran Kampung Kubur Datu, yang juga dinanti-nantikan oleh rakyat memandangkan ia sebelum ini dilaporkan bakal siap sebelum Aidilfitri pada April tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Januari tahun ini berkata, berlaku kegagalan pembetung jenis Corrugated Metal Pipe (CMP) di lokasi itu yang menyebabkan laluan persekutuan tersebut terputus sepenuhnya.
Itu pun belum ada lagi pengumuman yang dibuat susulan laporan tersebut sehingga kini.
Sudah tentu, pengaktifan laluan alternatif, tol dan pembukaan semula jalan raya yang telah terjejas menjadi antara fokus utama kerajaan untuk memudahkan perjalanan rakyat sempena Aidilfitri tahun ini.
Apa yang pasti, dijangkakan rakyat menanti-nantikan pengumuman pengaktifan laluan SmartLane dan pemberian tol percuma yang akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28