SKUAD Harimau Malaya menempa kekalahan pertama dalam aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 selepas tumbang kepada Oman 0-2 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada awal pagi Jumaat.
Turun dengan misi untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata, skuad negara terpaksa akur dengan kualiti dan dominasi pasukan lawan yang berada pada kedudukan ke-80 dunia itu sepanjang perlawanan.
Gawang skuad negara diuji seawal minit kesembilan menerusi penyerang tuan rumah Omer Al Malki yang dihadang pertahanan negara Dominic Tan.
Serangan bertali arus Oman hampir membuahkan hasil apabila Issam Al Sabhi melakukan larian bijak pada minit ke-21 untuk menyambut hantaran jauh, namun gagal menyudahkan peluang itu ketika Ahmad Syihan Hazmi sudah pun tertewas.
Percubaan Harimau Malaya hanya hadir menerusi rembatan jarak jauh Stuart Wilkin yang berjaya ditampan oleh Ibrahim Al Mukhaini.
Oman yang terus agresif memburu gol akhirnya membuka tirai jaringan pada separuh masa kedua apabila Isham menyempurnakan hantaran Ali Sulaiman Al-Busaidi yang merembat deras untuk mengegar gawang gol Harimau Malaya pada minit ke-57.
Harimau Malaya cuba bangkit menerusi gol penyamaan Paulo Josue, namun dibatalkan pengadil selepas pemain naturalisasi negara itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Oman memastikan kemenangan menerusi Muhsen Saleh Al-Ghassani yang berjaya meledak gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-88.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara jatuh ke kedudukan ketiga Kumpulan D dengan Oman merampas status pendahulu manakala Kyrgyzstan pada kedudukan kedua dengan kesemua pasukan berkongsi enam mata.
Selepas ini, skuad negara akan sekali lagi menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!